KUALA LANGAT – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan mana-mana pihak yang sedang disiasat termasuk isu 3R (agama, kaum dan Raja) bakal berakhir dengan pertuduhan di mahkamah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya tidak pernah mengamalkan budaya “dwi standard” dan “pilih bulu” hingga ada kalanya mengundang rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.
“Tak timbul (dwi standard dan pilih bulu), saya pun sebenarnya tak begitu nak terdorong untuk mengulas isu-isu macam ini yang muncul saban hari.
“Pada masyarakat melihat owh yang ini cepat, yang ini tiada tindakan, itu pandangan masyarakat.
“Polis lakukan siasatan, apa lagi kita nak tunjuk komitmen kita, pasukan khas ditubuhkan di Bukit Aman hanya untuk isu-isu 3R, berapa lama dia kena selesai, satu minggu, lepas seminggu dia hantar kepada DPP (timbalan pendakwa raya).
“Sampai di situ adakah polis ada bidang kuasa untuk memastikan ia berakhir dengan pertuduhan, kita tidak ada bidang kuasa itu.
“Dakwaan dwi standard itu tak wujud kerana ia bergantung kepada kertas siasatan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak Ops Bersepadu Hazard di Telok Panglima Garang, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas enam kakitangan stesen radio Era FM termasuk tiga penyampai radionya dipanggil ke Bukit Aman semalam untuk dirakam percakapan berhubung siasatan mengenai dakwaan mempersenda upacara agama Hindu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata enam individu terbabit diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Selain itu, Saifuddin memberitahu, tiada gunanya semua pihak bercakap soal isu 3R khususnya di platform media sosial kerana ia tidak membawa sebarang kebaikan kepada semua pihak.
“Saya cuma boleh menasihati bahawa, kalau selama kita nak bercakap tentang satu sahaja segmen iaitu 3R, maka masing-masing pihak akan mulakan dengan perbandingan, pertuduhan, sangkaan dan segala macam, ia tak bawa kebaikan.
“Apabila ada satu kertas aduan dibuat, polis akan buka kertas siasatan. Bahkan di Bukit Aman, bermula tahun lepas, permintaan saya kepada Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada waktu itu, segera wujudkan USTJ.
“Mereka cuma ada satu minggu untuk menyelesaikan sebelum serah kertas siasatan yang lengkap kepada DPP. Kalau siasatan itu berakhir dengan bukti kukuh, DPP akan buat keputusan untuk bawa ke mahkamah.
“Saya tahu sejumlah kertas siasatan dibuka, berapa berakhir dengan pertuduhan dan kadang-kala siasatan itu lengkap, tapi DPP memilih untuk tidak membawa kepada pertuduhan, itu di luar bidang kuasa polis,” katanya lagi. – MalaysiaGazette