KUALA LUMPUR- Malaysia akan menyuarakan bantahan terhadap sebarang cadangan pengilhakan Gaza atau usaha memindahkan rakyat Palestin ke Mesir dan Jordan secara paksa semasa Sesi Tergempar Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pendirian itu akan dibangkitkan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang dijadual menghadiri mesyuarat itu di Jeddah, Arab Saudi, esok.
Sesi itu akan membincangkan perkembangan gencatan senjata di Gaza serta kegusaran berhubung cadangan pengilhakan Gaza yang akan mengakibatkan pemindahan secara paksa rakyat Palestin daripada tanah air mereka.
Selain itu, Mohamad juga akan menzahirkan komitmen penuh Malaysia dalam membantu usaha pembinaan semula dan pemulihan Gaza, termasuk dengan mengadakan kerjasama pertubuhan-pertubuhan antarabangsa dan inisiatif serantau.
“Penyertaan Menteri Luar ke Sesi Tergempar ini menggariskan komitmen teguh Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dalam mewujudkan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya,” kata kenyataan itu. -MalaysiaGazette