GEORGE TOWN – Sebanyak 1,954 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) direkodkan di Pulau Pinang dalam tempoh lapan minggu pertama tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen memaklumkan, majoriti kes melibatkan kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah, iaitu sebanyak 1,484 kes (75.94 peratus).
Manakala 359 kes (18.37 peratus) dikesan dalam kalangan kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun.
“Daripada 37 wabak yang dilaporkan, sebanyak 28 kes (75.7 peratus) berlaku di taska, tadika, tabika, dan pra-sekolah. Selain itu, lapan wabak (21.6 peratus) melibatkan sekolah rendah, manakala satu wabak (2.7 peratus) dilaporkan di pusat jagaan.

“Terdapat peningkatan 12.8 peratus dalam kes HFMD pada minggu kelapan berbanding minggu sebelumnya, iaitu daripada 171 kes meningkat kepada 193 kes,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa kes yang direkodkan berpunca daripada jangkitan virus Coxsackie A16 (CA16) dan Coxsackie A6 (CA6), yang lazimnya hanya menyebabkan gejala ringan.
Menurut Daniel Gooi, tiada kes serius akibat jangkitan Enterovirus dilaporkan di negeri ini setakat ini, dan tiada pesakit HFMD yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) atau mengalami komplikasi maut.
“Dalam usaha membendung penularan penyakit ini, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan kawalan.
“Tindakan termasuk pemeriksaan serta penutupan premis yang terlibat dengan wabak HFMD dilakukan mengikut peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Selain itu, kerja-kerja nyahkuman dijalankan secara menyeluruh di dalam dan luar premis seperti taska, tadika, tabika, serta pra-sekolah, termasuk pada alatan permainan dan alat bantuan mengajar,” katanya. – MalaysiaGazette