Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mendedahkan pegawai penguat kuasa di bawah kementeriannya menerima ugutan daripada sindiket yang mendalangi pengimportan sisa elektronik (e-waste) ke negara ini.

Beliau berkata, antara ugutan yang diterima daripada pihaknya adalah rakaman video aktiviti anak-anak kepada penguat kuasa yang menjalankan tindakan membabitkan e-waste di negara ini.

“Ada pegawai kita yang tengah membuat penguatkuasaan e-waste mereka mendapat panggilan video daripada tauke-tauke besar yang menjadi dalang ini mengenai video anak-anak mereka di sekolah.

“Itu betapa seriusnya masalah pembuangan e-waste di negara ini,” katanya menjawab soalan lisan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau sebelum ini mahu kerajaan menyatakan tindakan tegas yang diambil oleh kementerian dalam membanteras penyeludupan e-waste ke dalam negara susulan serbuan besar-besaran ke atas kilang haram memproses sisa elektronik di beberapa negeri baru-baru ini.

Nik Nazmi berkata, sebanyak 2019 sebanyak 34 kontena e-wasta direkodkan, 23 (2020), 11 (2021), 11 (2022), 32 (2023), 329 (2024) dan sehingga Februari tahun ini sebanyak 15 kontena e-waste.

Menjawab soalan asal, Nik Nazmi berkata, selain di kawasan industri, premis mengendalikan e-sisa dikenal pasti turut berada di tanah rizab, ladang kelapa sawit dan kawasan hutan dengan kebanyakannya beroperasi secara haram.

Operasi kilang didalangi warga asing, menggunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai tenaga kerja atau pekerja yang menyalahgunakan permit kerja.

Beliau berkata, Op Hazard yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara baru-baru ini adalah hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membabitkan pemeriksaan ke atas 47 premis.

“Kita menyita 15,764.9 tan e-sisa, dianggarkan bernilai RM55 juta. Pemeriksaan mendapati 30 premis beroperasi secara haram, manakala tujuh lagi adalah premis barang lusuh; premis berlesen di bawah JAS (enam); premis berlesen di bawah pihak berkuasa tempatan (tiga) dan gudang haram (satu).

“Semua premis terbabit disiasat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), selain 37 premis dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta 127 terhadap mesin pengeluaran digunakan di dalam premis tanpa sebarang alat kawalan.

“Selain itu, 59 Notis Arahan dan 27 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Sebanyak 52 kertas siasatan juga akan dibuka bagi tujuan tindakan mahkamah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here