Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyantuni pelajar tahfiz pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 05 MAC 2025.

IPOH – Kerajaan Perak mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM1,500 kepada lebih 13,000 penjawat awam negeri ini.

Turut menerima bantuan tersebut adalah Orang Besar Jajahan (OBJ), guru lantikan negeri dan pekerja sambilan harian.

BKK tersebut membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM10 juta yang memanfaatkan 13,582 penerima itu dijangka disalurkan pada 24 Mac depan.

Berita gembira itu diumumkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Bersama Penjawat Awam Negeri Perak di Laman Seri Ridzuan di sini malam tadi.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pejabat Kewangan Negeri kerana bijak menguruskan wang yang membolehkan bantuan tersebut disalurkan kepada kakitangan awam di negeri ini.

“Terima kasih kepada Timbalan Pegawai Kewangan Negeri, Aida Hazlyn Hassan dan pasukannya kerana memang pandai menjimatkan duit yang akhirnya saya sembang dengan (Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim), dan kita beri RM1,500.

“Jadi semua ini adalah merupakan rahmat, rezeki diberikan oleh Allah SWT kepada kita. Alhamdulillah negeri kita ada sumber mineral, ada NR-REE (unsur nadir bumi bukan radioaktif), ada sumber-sumber yang diturunkan Allah SWT untuk rakyat negeri Perak.

“Cuma kita tahu bahawa ini adalah merupakan nikmat yang diberikan oleh Allah kerana itu, jangan lupa kita bersyukur kepada Allah SWT berapa pun yang kerajaan (negeri) umumkan kita bersyukur,” ujarnya.

Saarani juga berkata, pelbagai nikmat yang diberikan Allah SWT antara dalam bentuk keamanan negeri dan kestabilan politik.

“Nikmat itu dalam bentuk Allah berikan kepada semua ketua-ketua jabatan penjawat awam ini dengan memberikan idea-idea yang bernas setiap kali kita mesyuarat ketua-ketua jabatan, DO (pegawai daerah) dan semua sekali.

“Maka dengan idea-idea yang bernas itulah kita terus membangunkan negeri. InsyaAllah, kita dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 bertujuan untuk menjadikan negeri Perak sebuah negeri yang makmur dan dengan kemakmuran itu InshaAllah kita dapat mensejahterakan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here