Gambar hiasan

KUANTAN – Polis telah menerima dua laporan melibatkan kes penipuan pelaburan tidak wujud sehingga mengalami jumlah kerugian sebanyak RM414,902.67 di sini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya berkata, kes pertama melibatkan mangsa seorang wanita Melayu berumur 21 tahun yang merupakan seorang akauntan syarikat yang mengalami kerugian RM 240,467.61.

”Pada 26 Februari 2025 mangsa telah melihat iklan pelaburan I3 Investor di aplikasi Instagram dan menekan pautan  serta menerima satu pesanan whatsapp dari nombor tidak dikenali memberitahu tentang skim pelaburan tersebut.

”Mangsa rasa berminat dan telah membuat pemindahan wang melalui perbankan atas talian kepada akaun bank milik syarikat dan milik mangsa sebanyak 16 kali transaksi ke lapan akaun bank berbeza,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mangsa kemudian berasa tertipu kerana tidak memperoleh sebarang pulangan lalu membuat laporan polis.

Menurut Yahaya, wang yang digunakan oleh mangsa milik sendiri dan juga wang syarikat.

Selain itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang menerima laporan kes kedua melibatkan mangsa seorang lelaki Cina berumur 80 tahun merupakan seorang pesara guru mengalami kerugian RM174,435.06.

Pada 30 Oktober 2024, mangsa telah terima terima panggilan dari nombor tidak dikenali dan memperkenalkan pelaburan Crypto Currency Trading kepada mangsa.

Mangsa telah membuat pelaburan hampir RM60,000 dan memantau pelaburannya melalui apps SILEGX menggunakan wang simpanannya.

”Dari Oktober 2024 sehingga Februari 2025 mangsa mendapati pelaburannya meningkat sehingga USD 3 juta. Mangsa telah meminta untuk keluarkan semua wang namun mangsa diminta untuk membayar cukai sebanyak RM174,435.06,” tambahnya.

Susulan itu, mangsa telah membuat transaksi sebanyak RM174,435.06 ke dalam akaun yang telah diberikan oleh suspek.

Mangsa sedar dirinya telah ditipu selepas didesak untuk membuat bayaran cukai yang lain dengan jumlah yang lebih besar.

Kedua-dua kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Polis menasihatkan orang ramai agar membuat semakan dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan atas talian bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Yahaya menasihati masyarakat supaya jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.

”Orang ramai juga dinasihatkan sekiranya ada menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak Polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan,” katanya,

Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast