Gambar hiasan

Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac 2025 sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh perlindungan dan hak pekerja dalam sektor ekonomi gig.

Ekonomi gig terus berkembang secara pesat dengan mencecah sehingga 2.2 juta setakat tahun 2023 berdasarkan statistik oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Kesannya, keperluan untuk kerangka perundangan yang komprehensif semakin mendesak bagi memastikan pekerja gig tidak terus terpinggir dan mendapat perlindungan yang sewajarnya dari aspek politikal, ekonomi dan sosial.

RUU Pekerja Gig ini merangkumi empat elemen utama iaitu definisi, perlindungan sosial, mekanisme penyelesaian pertikaian dan pendapatan. Justeru, terdapat beberapa faedah yang diperoleh melalui RUU tersebut.

Salah satu faedah utama Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig ialah mewujudkan satu definisi khusus bagi pekerja gig, yang berbeza daripada pekerja di bawah Akta Kerja 1955.

Pengiktirafan ini amat penting kerana ia menetapkan asas bagi menentukan hak dan perlindungan yang bersesuaian dengan sifat pekerjaan gig, yang berbeza daripada pekerjaan konvensional yang lebih stabil dan berstruktur.

Dengan adanya definisi yang jelas, pekerja gig tidak lagi berada dalam “zon kelabu” dari segi perundangan, sekali gus membolehkan kerajaan merangka polisi dan peraturan yang lebih tepat bagi memastikan kebajikan mereka terjamin.

Definisi ini juga akan membantu dalam menilai tahap perlindungan yang diperlukan, termasuk aspek pendapatan minimum, jaminan keselamatan sosial, akses kepada mekanisme aduan, dan perlindungan daripada eksploitasi oleh platform penyedia perkhidmatan.

Seterusnya, pekerja gig mendapat perlindungan terhadap kestabilan pendapatan dan keselamatan sosial. Hal ini kerana pekerja gig sering mengalami ketidakstabilan pendapatan kerana bayaran bergantung kepada jumlah kerja yang diterima.

Tanpa peraturan yang jelas, pekerja gig mungkin terdedah kepada perubahan kadar bayaran yang tidak menentu dan kekurangan sokongan kewangan apabila mengalami kesulitan seperti sakit atau kecederaan.

Dengan adanya perlindungan yang sesuai, pekerja gig dapat menikmati kestabilan pendapatan melalui mekanisme seperti gaji minimum, faedah persaraan, atau bantuan kewangan semasa kecemasan.

Selain itu, keselamatan sosial yang meliputi caruman boleh memberikan jaminan yang lebih baik terhadap masa depan pekerja gig. Setakat ini, lebih 343,000 pekerja gig telah mencarum secara sukarela Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Selanjutnya, pekerja memahami hak-hak mereka termasuk penetapan kadar pendapatan minimum yang adil, perlindungan yang komprehensif serta standard minimum yang lebih terjamin.

Kesannya, pekerja gig tidak akan dieksploitasi dengan dibayar terlalu rendah oleh majikan atau platform. Perlindungan yang komprehensif juga penting untuk memastikan mereka tidak kehilangan hak yang dinikmati oleh pekerja sektor formal, seperti cuti sakit, cuti bersalin, dan perlindungan terhadap pemberhentian kerja secara tiba-tiba.

Selain itu, standard minimum dari segi kontrak kerja, jam bekerja yang munasabah, dan faedah tambahan boleh meningkatkan kesejahteraan pekerja gig serta memberikan mereka kepastian dalam pekerjaan.

Selain itu, pekerja gig berhak mendapatkan pembelaan yang sewajarnya melalui saluran aduan yang sah, rasmi dan diiktiraf undang-undang.

Hal ini demikian kerana ramai pekerja gig menghadapi kesukaran untuk menuntut hak mereka apabila berlaku ketidakadilan, seperti pemotongan bayaran secara tidak adil, gangguan di tempat kerja, atau penggantungan akaun tanpa sebab yang munasabah.

Dengan adanya saluran aduan rasmi dan diiktiraf undang-undang, pekerja gig mempunyai ruang untuk menyuarakan ketidakpuasan hati serta mendapatkan pembelaan yang sewajarnya. Ini boleh merangkumi mediasi dan tribunal khas untuk pekerja gig bagi memastikan hak mereka tidak diketepikan.

Di samping itu, keselamatan dan kesihatan pekerja gig terjamin semasa menjalankan perkhidmatan. Pekerjaan dalam sektor gig sering melibatkan risiko keselamatan dan kesihatan yang tinggi, terutama bagi mereka yang bekerja dalam penghantaran makanan, e-hailing, atau pekerjaan manual. Tanpa perlindungan sewajarnya, pekerja boleh mengalami kecederaan atau kemalangan tanpa sebarang pampasan.

Oleh itu, peraturan keselamatan dan kesihatan yang lebih ketat perlu diterapkan bagi memastikan pekerja gig dilindungi, seperti penyediaan insurans pekerjaan, latihan keselamatan, dan pemantauan syarat kerja.

Akhir sekali, kemajuan kerjaya sektor ekonomi gig mampu setara dengan pekerjaan formal serta akses yang adil dan menyeluruh kepada peluang peningkatan kemahiran. Hal ini kerana cabaran utama yang dihadapi oleh pekerja gig ialah kekurangan laluan yang jelas untuk kemajuan kerjaya.

Dalam pekerjaan formal, pekerja boleh naik pangkat atau menerima latihan kemahiran untuk meningkatkan peluang mereka.

Oleh itu, pekerja gig juga diberikan akses kepada program peningkatan kemahiran, latihan profesional, serta peluang untuk berkembang ke peranan yang lebih tinggi atau beralih kepada pekerjaan tetap jika mereka mahu.

Dengan cara ini, sektor gig tidak hanya dianggap sebagai pekerjaan sementara tetapi juga sebagai pilihan kerjaya yang stabil dan berkualiti tinggi.

Oleh itu, dengan memastikan keenam-enam faedah ini diperkukuh dalam dasar dan undang-undang, pekerja gig boleh menikmati perlindungan yang lebih menyeluruh serta meningkatkan taraf hidup mereka setanding dengan pekerja sektor formal.

Oleh,

Dr Nurhidayah Abdullah

Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya dan boleh dihubungi di [email protected]

-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here