KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang mencadangkan penggantungan stesen radio ERA FM susulan isu membabitkan tiga penyampai radio dianggap terlalu keras.
Ia akan menjejaskan ramai pekerja lain yang tidak terlibat, katanya.
“Kesalahan itu dilakukan oleh tiga DJ bukan seluruh kakitangan stesen radio. ERA FM telah pun memohon maaf secara terbuka dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.
“Kita bimbang jika stesen ini digantung, ramai pekerja daripada pelbagai kaum akan terkesan, terutama dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Saravanan menegaskan kerajaan perlu bersikap tegas terhadap individu yang mencetuskan ketegangan agama di media sosial kerana perkara ini berisiko menggugat keharmonian negara.
“Pihak berkuasa termasuk Polis dan MCMC perlu bertindak terhadap golongan pelampau agama seperti Zamri Vinoth yang secara berterusan mengeluarkan kenyataan bersifat provokasi dan menanam bibit perpecahan antara kaum di negara ini,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau turut menggesa tindakan diambil terhadap individu seperti Vijayan Savarinathan yang didakwa menghina Islam sebagaimana tindakan dikenakan ke atas mereka yang memperlekehkan agama Hindu.
“Kita harus konsisten dalam penguatkuasaan undang-undang. Tidak boleh ada sikap pilih kasih dalam isu sensitif berkaitan kaum dan agama. Malaysia adalah negara berbilang kaum dan keharmonian mesti dijaga dengan sebaiknya.
“Ini bukan soal perkauman atau agama tetapi tentang menghormati sesama rakyat Malaysia dan memastikan keamanan negara tidak tergugat,” katanya. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: