Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 27 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perpaduan tidak mempunyai cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Kerajaan Madani sentiasa bersedia bagi meneliti perkara ini dengan lebih lanjut bersama semua parti kerajaan dan pihak pembangkang,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Azalina berkata demikian mengulas soalan lisan daripada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) yang ingin tahu samada kerajaan bercadang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menambah baik Akta Anti Lompat Parti dan membentangkan Akta Pendanaan Politik di Parlimen sebelum Pilhan Raya Umum ke-16.

Dalam pada itu, Azalina berkata, cadangan untuk menggubal Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Politik ini dilihat dapat mengurangkan risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa melibatkan ahli politik di Malaysia dan seterusnya memberikan imej yang positif kepada kerajaan dan negara.

“Buat masa ini tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia sumbangan politik di Malaysia. Peruntukan sedia ada yang berkaitan adalah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memantau perbelanjaan calon pilihan raya sahaja dan bukannya perbelanjaan parti.

“Selain itu, Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) hanya menetapkan supaya setiap pertubuhan termasuk parti politik untuk mengemukakan penyata kewangan kepada ROS,” jelas Azalina lagi.

Pada 15 Julai thaun lalu, Azalina dilaporkan berkata pindaan kepada Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) atau Akta Anti Lompat Parti perlu dibincang dengan teliti dan dipersetujui secara dwipartisan.

Beliau berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) tiada masalah dan bersedia mengusulkan pindaan terhadap akta itu sepertimana dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here