KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak memberi jaminan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik akan diluluskan sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sukar untuk meluluskannya selagi kerajaan tidak mendapat maklum balas pelbagai pihak termasuk entiti politik dan orang awam.
Ujar beliau, pelbagai aspek perlu diambil kira termasuk pandangan pakar bebas dari universiti, selain perbincangan melibatkan jawatan kuasa pilihan serta pertemuan dengan agensi kerajaan.
Ketika ditanya sama ada penggubalan RUU tersebut mempunyai `tarikh mati’, Azalina menyatakan beliau sendiri tidak dapat menjangkakan bila PRU akan berlangsung.
“Susah nak cakap, saya pun tidak tahu bila PRU akan diadakan, mungkin dalam tempoh dua setengah tahun atau dua minggu dari sekarang.
“Beri saya masa kerana ia perlu melalui pelbagai peringkat dan penglibatan semua pihak termasuk maklum balas orang awam,” ujarnya kepada pemberita selepas sesi libat urus berkaitan penetapan dasar penggubalan RUU berkenaan di sini hari ini.
Menurut Azalina, pendapat rakyat amat penting kerana golongan pengundi semakin cerdik dan meletakkan harapan tinggi dalam pilihan raya.
Ujar beliau, kajian lanjut perlu dilakukan dengan mengambil kira tiga aspek iaitu parti politik, ahli politik dan kempen pilihan raya.
Tambahnya, segelintir individu mungkin tidak bertanding pada pilihan raya namun menerima dana kerana pengaruh atau visi mereka.
Azalina selanjutnya berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi (JKPK) dan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM) turut mengumpul maklumat dan tampil dengan pelbagai cadangan berkaitan penggubalan RUU berkenaan.
Menurut beliau, kedua-dua pihak tidak sependapat berhubung syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menurut mereka mempunyai pengaruh yang berbeza.
Pada sesi libat urus hari ini, pihak-pihak yang terlibat memberi cadangan berhubung RUU, mencapai persepakatan untuk menolak dana asing yang disalurkan bertujuan membiayai parti politik dan individu di negara ini.
Bagi had sumbangan yang perlu direkod dan dilaporkan, kerajaan mencadangkan RM3,000 ke atas; APPGM(RM1,000 ke atas) dan JKPK (RM25,000 ke atas).
Kerajaan bagaimanapun tidak mencadangkan sebarang jumlah untuk dana awam namun APPGM mencadangkan RM130 juta setahun bagi membiayai kos operasi parti politik, peruntukan berdasarkan undi dan peruntukan bagi menggalakkan wakil golongan wanita. – MalaysiaGazette