Dua Dari kiri Purusothaman, Puvanisveran dan Viknesh bersama-sama Subramaniam (dua kanan) di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan tiga sahabat daripada pertuduhan memiliki dan mengedar dadah jenis methamphetamine di Kampung Pangkalan Batu, Mersing pada 2019.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar melepas dan membebaskan S Purusothaman, 42, K Puvanisveran, 58, R Viknesh, 39, selepas memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Beliau memberitahu, keputusan itu dibuat selepas menimbang secara maksimum keterangan yang dikemukakan dalam kes pendakwaan dan setelah memperhalusi hujahan bertulis dan lisan pihak terbabit.

Dalam penghakimannya, mahkamah berpendapat premis merah dan ladang yang juga lokasi kejadian boleh diakses oleh orang lain selain ketiga-tiga tertuduh.

Beliau berhujah, keterangaan saksi pendakwaan sendiri mengesahkan ada orang lain yang boleh mengakses premis merah dan ladang terbabit.

“Penemuan dadah dalam premis itu juga tidak memadai untuk mengaitkan tertuduh pertama dengan kawalan atau jagaan dadah berbahaya. Tiada keterangan lain yang menunjukkan siapa dan bila barang kes itu diletakkan sebelum tarikh serbuan.

“Mahkamah juga berpendapat penemuan anak kunci semata-mata tidak memadai untuk mengaitkan tertuduh kedua dengan dadah berbahaya yang dijumpai dalam premis berkenaan.

“Mahkamah ini berpendapat pendakwaan gagal membuktikan ketiga-tiga tertuduh mempunyai kawalan atau jagaan atas dadah berbahaya yang menjadi teras kepada dua pertuduhan itu termasuk pemilikan dadah terbabit,” hujahnya.

Atas alasan itu, mahkamah melepas dan membebaskan semua tertuduh daripada dua pertuduhan dihadapi mereka tanpa dipanggil membela diri.

Bagi dua pertuduhan itu, mereka yang sebelum ini bekerja sebagai penternak didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine dengan berat bersih 6.20 kilogram dan memiliki cecair mengandungi methamphetamine dengan isipadu bersih 58.68 liter.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan di premis tidak bernombor di Kampung Pengkalan Batu, Mersing pada pukul 4.10 petang pada 28 Ogos 2019.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 398(2) akta sama yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau jika tidak  hendaklah dipenjara seumur hidup dan disebat minimum 12 kali jika sabit kesalahan.

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 2023.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Juanita Mohd Said, manakala Purusothaman diwakili peguam G Subramaniam Nair dan VS Selvanteran.

Bagi Puvanisveran dan Viknesh, mereka diwakili peguam Sangeet Kaur Deo, Harshaan Zamani dan K Ganeraja.

Sebelum ini polis Johor menyerbu sebuah bangsal dipercayai beroperasi sebagai makmal memproses dadah jenis syabu di kampung berkenaan dan menahan tiga lelaki tempatan yang ketika itu berusia berusia 32 hingga 52 tahun.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din ketika itu dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan dalam bangsal berkenaan menemui kira-kira 212.12 kilogram bahan mentah dadah dan beberapa botol kimia dipercayai ramuan syabu bernilai RM350,000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here