Mercu tanda UTHM

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mengukuhkan reputasinya dalam pendidikan tinggi apabila berjaya mengekalkan kedudukannya di kelompok tiga terbaik Sistem Pengumpulan Data Universiti Awam MyMoheS buat tiga kali berturut-turut.

Penarafan itu penting bagi menilai tahap kecekapan universiti awam dalam penyediaan data dan jaminan kualiti data empat modul penilaian utama iaitu modul pelajar, modul staf, modul penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta modul institusi.

Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen universiti dalam penambahbaikan berterusan tadbir urus pendidikan, pelajar, penyelidikan dan pengurusan institusi secara keseluruhan, selari dengan transformasi SPEED yang menjadi tunjang kepada tadbir urus universiti tahun 2025.

“UTHM sentiasa berusaha untuk memastikan kualiti akademik dan pentadbiran berada pada tahap terbaik.

“Kejayaan ini bukan hanya mencerminkan kecemerlangan universiti, tetapi juga usaha berterusan seluruh warga UTHM dalam memastikan kemajuan institusi selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi negara,” katanya.

Penarafan MyMoheS merupakan sistem pengukuran komprehensif universiti awam yang menilai kecekapan dalam pengurusan data, ketepatan dan kualiti maklumat yang dihantar, serta pematuhan terhadap piawaian data yang telah ditetapkan untuk memastikan keaslian dan kebolehpercayaan data yang dikumpulkan.

Konsistensi UTHM dalam kelompok tiga terbaik membuktikan keupayaan universiti untuk melaksanakan tadbir urus yang cekap dan baik serta mengekalkan kecemerlangan dalam ekosistem pendidikan tinggi.

Tambah Ruzairi, UTHM akan terus memperkukuh tadbir urus dan strategi akademik, memperluaskan kolaborasi penyelidikan dan meningkatkan kebolehpasaran graduan bagi mengekalkan momentum kecemerlangan seumpama itu.

“Kami akan terus berinovasi dan berusaha mencipta rekod kejayaan yang lebih tinggi , bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya.

Dengan pencapaian yang konsisten ini, UTHM semakin diiktiraf sebagai antara institusi pendidikan tinggi terbaik di Malaysia, sekali gus memperkukuh daya saingnya dalam menghasilkan graduan berkualiti serta penyelidikan berimpak tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here