KUALA LUMPUR – Dua individu termasuk seorang bekas Pegawai Khas kepada seorang Ahli Parlimen ditahan reman kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000 sebagai balasan membantu meluluskan dana Projek Mesra Rakyat.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh perintah menahan reman kedua-duanya selama empat hari bermula semalam sehingga 9 Mac ini.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia sekitar 30-an itu telah ditahan dua hari lalu kira-kira jam 9.30 malam ketika hadir bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
“Kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2024 sebagai balasan membantu meluluskan permohonan dana Projek Mesra Rakyat bernilai kira-kira RM 1.5 juta membabitkan pembekalan Interactive Smart Board kepada beberapa buah sekolah di sekitar Kuala Lumpur.
“Selain itu, siasatan juga akan menjurus kepada aspek pembekalan bagi mengesahkan penerimaan item mengikut kuantiti dan spesifikasi oleh sekolah-sekolah berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette