PUTRAJAYA- Cuaca panas ketika ini diramal tidak seteruk tahun lepas disebabkan pengaruh La Nina lemah yang menyebabkan cuaca sedikit lembap, namun jerebu tempatan masih boleh berlaku sekiranya insiden pembakaran terbuka tidak dikawal, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata pada masa ini, negara berada dalam fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pada pertengahan bulan ini.
“Dalam tempoh ini, taburan hujan akan berkurangan di kebanyakan tempat terutamanya di kawasan Utara Semenanjung Malaysia yang boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata negara dijangka berdepan dengan Monsun Barat Daya yang membawa cuaca yang panas dan kering sekitar bulan Mei hingga September tahun ini.
“Berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, akan berlaku pengurangan hujan antara 20 hingga 40 peratus berbanding keadaan biasa di Utara, Pantai Barat dan Timur Sabah pada bulan ini dan di Barat Sarawak pada bulan depan.
“Negara dijangka menerima taburan hujan pada paras normal pada Julai dan Ogos 2025,” katanya.
Beliau berkata kerajaan telah memutuskan beberapa langkah intervensi dalam menghadapi situasi cuaca panas dan kering seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan (JIJCKK) Bil. 1 Tahun 2025 yang diadakan pada Rabu lepas di Kuala Lumpur.
Mesyuarat tahunan itu diadakan bagi meneliti keadaan cuaca semasa dan akan datang, melaporkan status kualiti udara dan kejadian pembakaran terbuka serta tindakan yang diambil oleh semua kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri bagi mencegah pembakaran terbuka dan jerebu.
Melalui mesyuarat itu perkara yang telah dipersetujui antaranya kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri perlu mempertingkatkan langkah pencegahan dan melaksanakan pemantauan secara berterusan di bawah bidang kuasa dan fungsi masing-masing bagi mengekang pembakaran terbuka, jerebu dan kejadian kebakaran berulang.
Selain itu, beliau berkata semua pihak perlu sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan kualiti udara negara melalui maklumat yang boleh dicapai daripada aplikasi myCuaca dan laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia, aplikasi MyIPU dan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS). -MalaysiaGazette