KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, merupakan antara 32 individu yang dianugerahkan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat berkenaan kepada semua penerima di Balairung Seri, Istana Negara di sini.
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, turut berangkat ke istiadat berkenaan.
Dr Zaliha dan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Noridah Abdul Rahim yang mendahului senarai penerima masing-masing dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Sementara itu, Fahmi mengetuai senarai sembilan individu yang menerima Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW), yang membawa gelaran Datuk.- BERNAMA