KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional menyifatkan insiden melibatkan tiga penyampai radio Era FM hanya salah faham dan tidak sepatutnya dipolitikkan sehingga boleh membawa perpecahan dalam masyarakat.
Exconya, Dr. Mohamed Nashrudin Naharudin berkata, isu itu juga perlu ditangani secara rasional dan berhemah, tanpa dipengaruhi oleh tekanan politik atau emosi yang berlebihan.
Jelas beliau, semua pihak sepatutnya memainkan peranan dalam membina kefahaman dan memperkukuhkan perpaduan nasional dengan keamanan dan keharmonian negara harus menjadi keutamaan bersama.
“Pemuda Amanah percaya ia adalah salah faham yang tidak disengajakan dan ramai masyarakat Hindu boleh menerima penjelasan akan ketidaksengajaan ini.
“DJ (penyampai radio) terbabit telah pun membuat permohonan maaf secara terbuka dan menunjukkan kesediaan untuk belajar daripada kesilapan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohamed Nashrudin menyifatkan tindakan berat ke atas tiga penyampai radio berkenaan adalah tidak wajar kerana boleh mewujudkan suasana ketakutan dan tidak mencerminkan pendekatan keadilan yang sewajarnya.
Sebaliknya, ujar beliau, pihak berkaitan boleh mempertimbangkan pendekatan seperti sesi kesedaran dan pendidikan bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang.
“Tindakan melampau dari pihak kerajaan terhadap isu ini tidak membawa apa-apa kebaikan kerana kesalahan tersebut hanyalah kesalahan yang tidak disengajakan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan cadangan penggantungan operasi Era FM oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan insiden itu juga sebagai keterlaluan dan tidak seimbang dengan kesalahan yang dilakukan.
Ujarnya, hukuman seperti itu bukan sahaja tidak adil, tetapi juga boleh memberi kesan negatif kepada industri penyiaran negara.
“Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang mengamalkan prinsip keharmonian antara kaum dan agama.
“Oleh itu, sebarang tindakan haruslah mengambil kira semangat kesederhanaan dan toleransi dalam memastikan keharmonian masyarakat tidak terjejas,” katanya. – MalaysiaGazette