KUALA LUMPUR – Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA) melahirkan kebimbangan dengan apa yang didakwa sebagai layanan tidak adil dan berbeza-beza dalam tindakan pihak berkuasa berhubung insiden penghinaan terhadap agama.
Pengerusi MACSA, Datuk Lukman Sheriff Alias berkata, tindakan pantas terhadap penyampai radio Era FM berhubung insiden memperlekeh agama Hindu jelas berbeza berbanding dalam kes penghinaan terhadap agama Islam.
Dalam beberapa kes, siasatan kes penghinaan terhadap Islam berjalan dengan perlahan, manakala hukuman yang dikenakan terlalu ringan, katanya.
Beliau mengambil contoh dalam kes melibatkan Harith Iskander dan Cecilia Yap yang hanya dikenakan kompaun RM10,000 pada 5 Mac lalu sedangkan laporan polis terhadap mereka telah dibuat pada 21 Januari lalu.
Begitu juga dalam insiden seorang juruteknik, Chiok Wai Loong, 35, yang hanya dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 kerana memuat naik kandungan menghina berkaitan stokin yang memaparkan perkataan “Allah”.
“Kes-kes ini jelas menunjukkan tindakan berat sebelah yang membimbangkan.
“Apabila agama Islam dihina, siasatan sering kali ditangguhkan, dan mereka yang bersalah hanya dikenakan hukuman ringan, walaupun perbuatan tersebut menimbulkan kemarahan dan kesedihan dalam kalangan umat Islam.
“Sebaliknya tindakan pantas terhadap penyampai radio Era FM mewujudkan persepsi bahawa penguatkuasaan undang-undang bersifat selektif,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu turut dikeluarkan secara bersama dengan Pengerusi Bersama MACSA, Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar dan disokong oleh 63 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGI).
Tambah Lukman Sheriff, layanan berat sebelah dalam tindakan pihak berkuasa itu tidak boleh diterima dan sekiranya Malaysia benar-benar mahu menegakkan keharmonian agama, undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil dan saksama.
Ujarnya, keadilan tidak boleh dilihat memihak kepada mana-mana pihak, kerana ia akan merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem perundangan dan menggugat kestabilan negara.
“Sehubungan itu, kami menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas dan segera terhadap sebarang bentuk penghinaan agama, tanpa mengira agama yang menjadi sasaran,” katanya.
Tambah beliau, pihak berkuasa juga harus membuktikan komitmen terhadap keadilan yang saksama dengan mengkaji semula kes-kes terdahulu yang melibatkan penghinaan terhadap Islam dan memastikan semua komuniti agama mendapat perlindungan yang sama di bawah undang-undang.
Tegasnya, kegagalan berbuat demikian hanya akan memperdalam rasa tidak puas hati serta menghakis keyakinan rakyat terhadap Malaysia. – MalaysiaGazette