Pasangan suami isteri, Azman Mastol dan Norailah Hashim merenung nasib selepas rumah mereka musnah dibadai ribut ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Parit Empat, Tanjong Karang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 MAC 2025

SEKINCHAN – Sepasang suami isteri boleh menarik nafas lega apabila mereka tidak berada di dalam kediamannya di Parit 4, di sini ketika puting beliung melanda kawasan itu, kira-kira jam 7 pagi, semalam.

Azman Mastol bercakap pada sidang media selepas rumah mereka musnah dibadai ribut ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Parit Empat, Tanjong Karang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 MAC 2025

Azman Mastol, 58, berkata, jika dia dan isteri masih berada di rumah, sudah pasti mereka akan terperangkap dan tidak tahu berbuat apa-apa, apatah lagi hendak melarikan diri dalam keadaan ribut petir dan angin kuat.

“Masa kejadian, kalau saya dan isteri ada di situ (rumah), tak tahu dekat mana nak berlindung, memang paniklah, tak tahu nak buat apa.

“Kalau nak larikan diri ke kawasan lapang, takut terpijak benda tajam atau zink (bumbung),” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di kediamannya, di Parit 4, di sini, hari ini.

Seorang penduduk, Norailah Hashim, 53 mengemas barangan dapur yang masih boleh dipakai selepas rumahnya musnah dibadai ribut ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Parit Empat, Tanjong Karang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 MAC 2025

Terdahulu, media melaporkan, sebanyak 11 premis termasuk rumah kediaman dan inap desa mengalami kerosakan teruk akibat puting beliung yang melanda kawasan Parit 4 awal pagi pada Khamis.

Azman berkata, pada mulanya dia dan isteri beranggapan, kejadian atap rumahnya tercabut akibat ribut hanya perkara biasa, namun sebaik sahaja bergegas pulang, dia tidak menyangka ia berlaku sebaliknya.

“Sebaik sahaja sampai di rumah, saya terperanjat dan terkedu melihat keadaan rumah saya yang tercabut bumbung hampir keseluruhan rumah terutama di bahagian ruang tamu dan dapur.

“Apabila melangkah masuk, ruang tamu sudah digenangi air hujan setinggi buku lali, mengakibatkan hampir semua perabot dan peralatan elektrik musnah sekelip mata,” katanya.

Menurut Azman yang juga seorang peniaga warung kopi, bencana puting beliung itu merupakan kejadian pertama kali berlaku dalam seumur hidupnya.

“Selama saya duduk di sini sejak lahir, kalau berlaku ribut atau puting beliung, hanya berlaku sedikit sahaja, tapi kali ini rumah saya dan jiran betul-betul berada di laluan puting beliung, kejadian ini memang tidak pernah diduga,” katanya

Azman tidak menolak kemungkinan kemusnahan rumahnya hampir 50 peratus itu dianggarkan melibatkan kerugian hampir RM120,000 susulan hampir semua struktur bumbung diterbangkan dalam ribut tersebut.

“Kejadian ini tidak ubah seperti sebuah filem ribut taufan bertajuk Twister yang menerbangkan bumbung, saya agak sedih bila tengok keadaan rumah,” katanya.

Norailah Hashim bercakap pada sidang media selepas rumah mereka musnah dibadai ribut ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Parit Empat, Tanjong Karang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 MAC 2025

Menurut isterinya, Norailah Hashim, 53, kerosakan rumahnya yang dibadai puting beliung memaksa dia dan suami berhari raya di rumah anak-anak mereka, tahun ini.

“Biasanya setiap tahun, anak-anak akan pulang balik sambut hari raya bersama kami, tahun ini kami pula beraya dan duduk di rumah anak-anak di Saujana Putra dan Putrajaya,” katanya.

Norailah melahirkan rasa dukacita dan hilang kata-kata apabila dalam sekelip mata dia dan suami hilang tempat berteduh.

“Saya ada cakap dengan suami, malam ini nak duduk mana, nak tidur mana, kalau nak duduk dengan anak, rumah ini masih ramai orang datang ziarah, takkan nak tinggal.

“Ada abang ipar kata sementara itu, duduklah di rumah dia dulu, buka dan sahur pun di rumah abang ipar.

“Ikutkan hati, lagi selesa berbuka puasa di rumah sendiri, apakan daya, rumah pula musnah dalam ribut, barang elektrik di dapur pun tak dapat diselamatkan, tambahan pula rumah masih bergelap,” katanya.

Norizan Mahari bercakap pada media selepas penginapan homestay miliknya terkesan akibat dibadai ribut ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Parit Empat, Tanjong Karang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 MAC 2025

Sementara itu, bagi seorang peniaga, Norizan Mahari, 56, ketika berkongsi detik cemas, dia bagaikan terkedu dan seluruh anggotanya menggigil apabila mendapat tahu inap desa yang diusahakannya sejak empat tahun lalu turut terkena tempiasnya.

“Bila saya sampai ke homestay, kaki tak boleh bergerak untuk turun kereta, mula-mula memang tak berani nak turun kereta, perasaan pula bercampur aduk, antara trauma dengan hiba.

“Saya lahir di Parit 4 Sekinchan, 56 tahun dahulu kat situlah tempat cikgu lahir, bila jadi macam ini, saya macam tak percaya homestay saya jadi macam ini,” katanya.

Norizan Mahari bersama anak perempuannya Nurezzati Syazlena Zaharudin bercakap pada media selepas penginapan homestay miliknya terkesan akibat dibadai ribut ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Parit Empat, Tanjong Karang. Foto MUHAIMIN MARWAN, 7 MAC 2025

Menurut anaknya, Nurezzati Syazlena Zaharudin, 27, dia cuba memujuk ibunya agar dapat menerima ketentuan Ilahi dan meyakinkan homestay itu masih boleh diperbaiki meskipun kos pembaikan mencecah lebih RM7,000.

“Saya cakap dengan mak, kita akan urus homestay perlahan-lahan, walaupun mak sedih, saya masih lagi okay,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here