TASEK GELUGOR – Polis sedang mengesan empat suspek lekaki yang dipercayai terlibat dalam kes tetak mati seorang lelaki warga Myanmar di sebuah restoran nasi kandar di Taman Sepadu Jaya, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, dalam kejadian jam 3.20 pagi itu mangsa berusia 38 tahun maut di lokasi kejadian akibat diserang empat lelaki bersenjatakan parang.
“Hasil siasatan awal mendapati empat lelaki warga tempatan memakai topi dan penutup muka dengan menaiki sebuah kenderaan jenis tidak dikenal pasti menyerang mangsa yang sedang bertugas di restoran berkenaan.
“Mangsa telah melarikan diri namun dikejar oleh kesemua suspek sebelum bertindak menetak beberapa kali pada bahagian kepala, tangan dan badannya.

“Impak tetakan itu mengakibatkan mangsa jatuh terbaring sebelum kesemua suspek melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat.
“Kesemua suspek dalam kes ini masih dikesan dan siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes Asisten Superintendan Shuheri Abdul Rani di talian 04 576 2222 sambungan 2275 atau balai polis berhampiran,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan seorang lelaki warga Myanmar maut dipercayai akibat ditetak sekumpulan individu menggunakan parang dalam kejadian di sebuah kedai nasi kandar di Taman Sepadu Jaya, di sini.
Kejadian jam 3.20 pagi itu mengakibat mangsa berusia 38 tahun maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada anggota badan serta kepala akibat ditetak.
MalaysiaGazette difahamkan, mangsa yang juga pengurus kedai nasi kandar itu didatangi sekumpulan lelaki bertopeng sebelum tiba-tiba bertindak menyerangnya. – MalaysiaGazette