Saravanan dan Zamri Vinod.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan bersetuju untuk mengadakan debat dengan Zamri Vinoth selepas pendakwah Islam itu menyahut cabarannya.

Malah Ahli Parlimen Tapah itu menetapkan tarikhnya iaitu pukul 11 pagi pada 23 Mac ini.

Saravanan menetapkan tajuk berkaitan upacara kavadi dan sebutan vel vel seperti yang pernah dinyatakan oleh pendakwah itu sebelum ini.

“Saya mengambil maklum bahawa kamu telah menerima cabaran debat ini. Topiknya adalah mudah, kamu sebelum ini mendakwa bahawa ‘Hindu yang mengangkat kavadi sebut Vel Vel sambil menari seperti dirasuk dan dalam keadaan mabuk todi’. Mungkin kamu tidak ada pengetahuan dalam bab ini,” katanya dalam kenyataan.

Saravanan juga memberikan kebebasan kepada Zamri untuk memilih mana-mana tempat di ibu negara sebagai lokasi debat dengan menetapkan Dewan Bahasa Tamil Malaysia sebagai penganjurnya.

“Saya menantikan pengesahan daripada kamu. Pada masa yang sama, ‘pelik’ apabila kamu menerima cabaran debat tetapi tutup ruangan komen di Facebook,” kata Saravanan dalam kenyataan.

Sebelum itu, Zamri yang juga berketurunan India dan bekas penganut Hindu menerima cabaran debat daripada Saravanan.

Dalam satu kenyataan di media sosial, Zamri memberi kebebasan kepada Saravanan untuk memilih tempat dan tajuk.

“Orang menjual kita membeli! Melalui sebuah paparan video yang dikeluarkan oleh Saravanan di dalam bahasa Tamil beliau telah mencabar saya untuk berdebat dengannnya.

“Oleh itu saya terima cabaran debat tersebut. Siapa sedia nak anjurkan debat tersebut? Tempat di mana? Apa tajuknya?” kata Zamri.

Timbalan Presiden MIC itu baru-baru ini mengecam Zamri kerana mengutuk upacara kavadi yang diamalkan penganut Hindu.

Saravanan berkata, komen Zamri yang dimuat naik di Facebook ‘sangat biadab dan menyinggung perasaan masyarakat Hindu’.

“Ini jelas bertentangan dengan pendirian kerajaan Madani dalam perkara 3R (kaum, agama dan institusi diraja). Banyak aduan polis telah dibuat terhadapnya. Polis dan kerajaan mesti ambil tindakan terhadapnya sekaligus (menghentikan tindakannya),” kata Saravanan.

Zamri kemudian membalas kenyataan Saravanan dengan berkata, penganut Hindu sendiri ‘sebut Vel Vel sambil menari-nari macam orang kena rasuk sambil mabuk todi’.

“Apa yang korang buat itulah yang orang lain nampak dan ikut tapi bila orang ikut apa yang korang sendiri buat (tiba-tiba) marah pula?

“Kalau marah, lain kali jangan buat perkara yang menjadi contoh ikutan orang!” katanya.

Zamri berkata demikian susulan kontroversi baru-baru ini membabitkan tiga penyampai radio Era FM, yang hebat dikecam kerana mempersenda upacara kavadi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here