ALOR GAJAH – Timbalan Perdana Menteri menempelak tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan pendirian kerajaan dalam mempertahankan agama Islam di negara ini.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kerajaan Madani berpegang kepada perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan malah parti-parti di dalamnya juga mendukung apa yang termaktub di dalamnya.
“Oleh yang demikian, jangan ada tuding jari ataupun pihak-pihak yang mempertikaikan pendirian kerajaan dalam hal ini.
“Kita tahu agama ini adalah sensitif dan kita tidak mahu ada tangan, jari yang menuduh pihak kerajaan tidak mengambil kepedulian mengenai perkara ini terutamanya apabila dalam isu mempertahankan agama Islam,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata demikian selepas menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Ar-Rahman, Kg. Rantau Panjang, Masjid Tanah, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Agung Barisan Nasional Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Mengulas lanjut Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO membidas sikap sesetengah pemimpin kerajaan mahu pun pembangkang yang menggunakan isu agama untuk merungkai keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Apapun agama yang diamalkan rakyat negara ini haruslah dihormati seperti yang disebut dalam al-Quran haruslah saling menghormati agama lain.
“Kita tidak mahu sama ada seorang individu atau sesuatu kumpulan sama ada ianya beraliran kanan kiri menggunakan isu-isu agama ini untuk merungkaikan keharmonian yang sedia wujud di negara kita. – MalaysiaGazette