KLUANG – Seorang anggota polis yang dalam perjalanan pulang untuk berbuka di kuaters polis cedera selepas motosikal ditungganginya terbabas ketika mengelak seekor anjing melintas di Jalan Padang Tembak di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 7 petang ketika mangsa yang berusia 37 tahun dalam perjalanan ke Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.
“Mangsa dipercayai tidak sempat mengelak apabila seekor anjing tiba-tiba melintas dari kiri ke kanan jalan. Ini menyebabkan motosikal yang ditungganginya hilang kawalan dan terjatuh di bahu jalan.
“Kejadian itu juga menyebabkan motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa mengalami kerosakan pada fork hadapan, bahagian sisi kanan, serta beberapa bahagian lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala, badan, dan kaki sebelum dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Difahamkan, anjing yang dilanggar itu tidak berada di lokasi selepas kejadian dan dipercayai telah melarikan diri.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati, terutamanya di kawasan yang sering menjadi laluan haiwan liar bagi mengelakkan kemalangan seperti ini berulang,” ujarnya.- MalaysiaGazette