KUALA LUMPUR – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengumumkan akan penambahbaikan dalam proses kelulusan geran dan pembayaran tuntutan bagi memastikan majikan serta penyedia latihan mendapat akses lebih pantas kepada dana latihan.
Malah ini merupakan antara inisiatif dan usaha berterusan HRD Corp dalam memperkasakan pembangunan tenaga kerja negara serta menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
HRD Corp komited untuk terus menambah baik proses bagi memberikan perkhidmatan yang lebih cekap kepada majikan dan penyedia latihan.
Dengan mempercepatkan proses kelulusan geran serta menyelaraskan pembayaran tuntutan, HRD Corp memastikan majikan dapat mengakses dana latihan dengan lebih pantas dan efisien.
Sebagai sebahagian daripada penambahbaikan ini, permohonan geran di bawah skim HRD Corp Claimable Courses (HCC) kini diproses dalam tempoh 24 jam, berbanding 48 jam sebelum ini.
Kelulusan lebih pantas ini membolehkan majikan untuk merancang serta melaksanakan latihan pekerja dengan lebih efisien, tanpa gangguan atau kelewatan yang boleh menjejaskan operasi syarikat.
Selain itu, HRD Corp juga telah mengurangkan tempoh pembayaran tuntutan bagi majikan dan penyedia latihan daripada 30 hari kepada hanya 7 hari bekerja.
Langkah ini akan membantu syarikat menguruskan aliran tunai dengan lebih baik serta memastikan mereka tidak berdepan sebarang kesulitan kewangan dalam menjalankan program latihan.
Penambaikan ini bukan sahaja menyokong pembangunan tenaga kerja tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang Malaysia.
Dalam pada itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood, menyatakan komitmennya bahawa HRD Corp akan terus memperhalusi proses sedia ada bagi memastikan permohonan geran dan tuntutan dapat diproses dengan lebih cekap pada masa hadapan.
“Kami akan terus berusaha untuk menyediakan kemudahan dan kecekapan yang lebih tinggi, sekaligus memperkasakan organisasi untuk membina tenaga kerja yang lebih bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette.
Melalui penambahbaikan ini, HRD Corp terus memainkan peranan penting dalam membangunkan modal insan negara serta memastikan daya saing tenaga kerja Malaysia kekal relevan di peringkat global.
Majikan dan penyedia latihan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web rasmi HRD Corp di https://hrdcorp.gov.my