KUALA LUMPUR – Kebebasan media meskipun merupakan elemen penting dalam demokrasi, namun tidak boleh dijadikan alasan untuk melindungi salah laku individu dalam industri itu.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, wartawan harus berpegang kepada integriti dan etika kewartawanan, bukan menyalahgunakan kedudukan untuk kepentingan peribadi.
Menurutnya, media juga tidak sepatutnya berlindung di sebalik hak kebebasan kewartawanan apabila berlaku salah laku dalam kalangan wartawan atau pengamal media.

Sehubungan itu, jelasnya, pihak media dan pihak berkuasa sepatutnya saling menghormati peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam melaksanakan tugas mereka.
Tambahnya, fungsi dan peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah membanteras rasuah tidak kira jawatan atau pangkat seseorang suspek dan SPRM telah mengambil tindakan terhadap individu dalam pelbagai sektor termasuk media.
“Ini menunjukkan bahawa SPRM berpegang kepada prinsip keadilan dan ketelusan tanpa mengira latar belakang seseorang dan tuduhan bahawa badan itu menindas media tidak berasas kerana kes ini melibatkan salah laku individu, bukan tindakan terhadap kebebasan media secara umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan seorang bekas penolong pengurus di jabatan pengarang akhbar harian berbahasa Inggeris The Star, mula menjalani hukuman penjara 20 bulan pada Khamis selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan menerima rasuah berjumlah RM20,000, lapan tahun lepas.
Dalam kes berasingan, seorang wartawan portal berita direman empat hari bagi membantu siasatan dakwaan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk menurunkan artikel yang dimuat naik serta tidak menulis lagi tentang sebuah agensi pekerja asing yang didakwa terbabit dalam sindiket.
Menurut Jais, kedua-dua kes itu perlu dijadikan iktibar yang mana tidak ada sesiapa pun yang boleh terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya benar-benar dibuktikan terlibat dalam kes rasuah.
Sehubungan itu, ujar beliau, media harus memastikan integriti mereka terpelihara dan tidak membenarkan budaya rasuah menular dalam profesion tersebut.
“Jika seorang pegawai akhbar boleh dikenakan tindakan kerana rasuah, maka wartawan yang bersalah juga tidak harus terkecuali,” katanya.
Tambahnya, segala tindakan yang diambil oleh SPRM adalah berdasarkan bukti, bukan sekadar dakwaan atau persepsi.
Paling utama ujarnya, adalah memastikan keadilan dan ketelusan dalam semua tindakan antirasuah, tanpa mengira latar belakang individu yang terlibat.
Bagaimanapun, kata beliau, prinsip pengasingan kuasa dalam proses pengadilan memberi peluang kepada tertuduh untuk membela diri.
“Proses siasatan dan perundangan negara harus diberikan ruang untuk berjalan tanpa spekulasi berlebihan daripada masyarakat yang boleh menggugat kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette