KUALA BERANG – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin politik supaya tidak menunggang agama untuk mencapai cita-cita politik .
Timbalan Perdana Menteri berkata, sepatutnya pada bulan Ramadan digunakan untuk melakukan amal jariah dan kebajikan.
“Ini bulan Ramadan, kembalilah ke landasan Islam. Marilah kita bersama-sama menyatukan pemikiran kita, hati nurani kita lakukan amal ibadah dengan baik dan Insyaallah Allah SWT akan memberikan barakah kepada hidup kita.
“Begitulah juga dengan seseorang yang bergelar pemimpin, tidak kisah pemimpin di peringkat kampung, daerah, negeri mahupun nasional. Pemimpin-pemimpin ini perlu lakukan keadilan, keduanya perlu memberikan nasihat yang betul bukan seleweng nasihat. Jangan fatwa bertukar-tukar.
“Kembali kepada ajaran Islam, bukan ulamak politik yang menggunakan agama sebagai tunggangan untuk capai cita-cita politik,” katanya ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Felcra di Kuala Berang, hari ini.
Walaupun tidak memetuk sebarang nama, namun ucapan itu dilihat menjurus kepada tindakan pohak tertentu yang tidak meluluskan penganjuran Program Santunan Kasih Ramadan di Terengganu pada hari ini.
Semalam Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam surat rasminya memaklumkan permohonan penganjuran program yang melibatkan Masjid Kampung Kuala Akob dan Masjid Haji Abdul Rahman Limbong, Kuala Telemong tidak diluluskan.
Bagaimanapun, Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu dalam kenyataan pada Jumaat berkata, program tersebut tetap berlangsung dan akan dipindahkan ke tanah lapang bersebelahan masjid itu. – MalaysiaGazette