Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SADIQ SANI, 08 MAC 2025

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu lebih ramai kaum wanita diberi peluang memegang jawatan tertinggi dalam sektor swasta terutama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Beliau menyatakan, sektor swasta harus mempunyai tanggungjawab dengan membuat penilaian mengapa jumlah wanita di peringkat tertinggi terlalu kecil.

“Jemaah Menteri akan minta hal ini diberikan perhatian dan kita akan mendapat laporan. Kalau kurang tidak harus dipaksa diangkat (dilaksanakan) sekarang tetapi harus ada perencanaan yang teliti,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiring isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memegang buku Dasar Wanita Negara pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SADIQ SANI, 08 MAC 2025

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri serta Timbalannya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Sambutan itu yang bertemakan `Wanita Beraspirasi Membina Legasi’ turut menyaksikan Pelancaran Dasar Wanita Negara dan penyampaian Anugerah KASIH Wanita.

Dalam ucapannya Perdana Menteri menyatakan, dalam kalangan penjawat awam wanita, beberapa tokoh utama turut diberikan ruang, kedudukan yang baik dengan prestasi yang membanggakan.

Namun Anwar berkata, tentunya penglibatan mereka dalam lapangan yang lebih besar dalam sektor awam boleh diberi perhatian.

Beliau menambah, penglibatan wanita dalam jawatan tertinggi selaras dengan keupayaan mereka, bukan secara kebetulan.

“Kita pilih kerana mereka punya ruang dan kewibawaan dengan rekod yang cemerlang dan tidak harus disisihkan samata-mata mereka wanita.

“Sebagai contoh yang harus diberikan perhatian ialah dalam kerajaan sendiri, walaupun ada peningkatan Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) sebanyak 30 peratus, ia boleh diperbaiki,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Ketua Setiausaha Negara mencari jalan meningkatkan peranan dan kedudukan wanita setimpal dengan keupayaan mereka.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menyentuh penyertaan kaum wanita dalam dunia politik yang berdepan dengan cabaran yang lebih besar.

Ujar Anwar, kemenangan calon-calon dalam pilihan raya banyak bergantung kepada undi wanita.

Namun katanya, penyertaan dan penonjolan tokoh-tokoh wanita di Parlimen sangat tidak memenuhi sasaran awal iaitu sekitar 14 peratus walaupun sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus.

“Harus ada gesaan dan saya fikir parti-parti harus memberi peluang kepada mereka untuk menyatakan sokongan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here