BANGI – Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa terkejut dengan pengesahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.
“Kita (saya rasa) terkejut,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama anak yatim dan asnaf dibawah Yayasan Amal Malaysia di Bangi, petang tadi.
Mahathir berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau terkejut dengan pendedahan SPRM menerusi penemuan wang tunai bernilai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen dianggar bernilai RM7 juta di sebuah ‘safe house’ minggu lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Ismail Sabri akan dipanggil untuk dirakam keterangan sebagai seorang suspek, bukan saksi.
Menurut Mahathir, bagi memastikan wang dan emas yang dijumpai oleh SPRM tersebut adalah milik Ismail Sabri, ia perlu dibuktikan di mahkamah.
“Pihak pendakwa akan membuat tuduhan dan pihak yang dituduh berhak untuk menjelaskan.
“Saya tak boleh nak kata sekarang ini bahawa ini adalah milik Ismail Sabri ataupun tidak.
“Kita tunggulah bawa ke mahkamah. Kita dengar apa dia sebenarnya yang berlaku,” katanya.
Pada Ahad lalu, SPRM mengesahkan telah merampas wang tunai bernilai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen dianggar bernilai RM7 juta.
Ia berhubung siasatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri itu.
Rampasan dilakukan ketika penggeledahan di sebuah kediaman dan tiga buah premis yang dipercayai dijadikan sebagai ‘safe house’. – MalaysiaGazette