JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lelaki warga Singapura selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga terbabas masuk ke sebuah restoran di Jalan Dato’ Abdullah Tahir, di sini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku pukul 10.50 malam, 5 Mac lalu membabitkan sebuah kenderaan jenis Suzuki.
Beliau berkata, pemandu Suzuki terbabit yang berusia 46 tahun dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan melanggar dinding restoran, kerusi serta meja.
“Ketika cuba mengundurkan kenderaan keluar, dia kemudian melanggar Honda HRV yang sedang diparkir di lokasi kejadian.
“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, Raub berkata, pihaknya mengesan satu video tular dalam media sosial mengenai kejadian itu, kira-kira pukul 2 petang tadi.
Menurut Raub, suspek ditahan dan diuji menggunakan alat pengesan alkohol.
“Ketika ujian kali kedua, dia enggan memberi kerjasama, menyebabkan polis membawanya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk pengambilan sampel toksikologi bagi mengesan paras mabuk,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada masa sama, Raub menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memandu selepas mengambil alkohol kerana kesalahan ini boleh menyebabkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda antara RM10,000 hingga RM30,000, serta hilang kelayakan memiliki lesen memandu selama dua tahun jika disabit kesalahan,” jelasnya.- MalaysiaGazette