KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijangka menerima peruntukan bagi kawasan Parlimennya daripada kerajaan.
Ia selepas draf perjanjian antara Ahli Parlimen berkenaan dengan kerajaan kini dalam fasa terakhir untuk dimuktamadkan.
Mengesahkan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, secara prinsipnya, Syed Saddiq telah bersetuju dengan syarat yang ditetapkan di bawah peruntukan tersebut.
“Insya-Allah selesai (draf perjanjian) Syed Saddiq (bakal terima peruntukan) kerana hanya beliau saja beri maklum balas dan mengemukakan surat rasmi,” katanya dalam satu majlis di Kuching, Sarawak hari ini seperti dipetik laporan Berita Harian.
Syed Saddiq sebelum ini mencuri perhatian selepas mengaku terpaksa menjadi model baju raya sebuah jenama fesyen bagi mendapatkan dana untuk pengundi di kawasan Parlimennya.
Menurut Syed Saddiq, ia berikutan usahanya bagi mendapatkan peruntukan daripada kerajaan tidak menemui hasil selepas Perikatan Nasional (PN) yang mengetuai blok pembangkang mengumumkan menolak draf Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan Ahli Parlimen pada September tahun lalu.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, kerajaan ketika ini masih menunggu maklum balas daripada pembangkang bagi menyediakan surat cadangan untuk diteliti bagi menubuhkan jawatankuasa di peringkat kerajaan dan pembangkang.
“Tetapi setakat ini pembangkang masih belum memberi maklum balas kecuali Syed Saddiq,” katanya. – MalaysiaGazette