KUALA LUMPUR – Cadangan Lim Guan Eng yang mahu peruntukan kepada bukan Bumiputera dinaikkan kepada 10 peratus daripada keseluruhan peruntukan Bumiputera disifatkan langkah terdesak Pengerusi DAP berkenaan menjelang pemilihan parti itu tidak lama lagi.
Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, cadangan Ahli Parlimen Bagan itu juga seolah-olah gimik politik untuk beliau kekal relevan dalam politik ketika ahli parti DAP sendiri mahukan pembaharuan.
“Anehnya, ketika menjadi Menteri Kewangan Kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2018 dan 2019, mengapa tidak dilakukan sewaktu berkuasa?
“Mengapa mahu menjadi hero sewaktu pemilihan CEC DAP pada bulan ini?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Cadangan menaikkan peratusan peruntukan untuk golongan bukan Bumiputera itu disuarakan Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan di Dewan Rakyat, selaras hasrat Kerajaan Perpaduan yang mahu menjaga kesejahteraan semua lapisan masyarakat.
Mengetengahkan Belanjawan 2022 sebagai contoh, Guan Eng berkata, golongan Bumiputera diperuntukkan dana bernilai RM11.4 bilion, manakala bukan Bumiputera diberi RM345 juta iaitu tiga peratus daripada keseluruhan nilai berkenaan.
Sementara itu, Shahir berkata, Guan Eng sepatutnya melihat kepada definisi dan statistik penduduk di negara ini terlebih dahulu yang mana kira-kira 70 peratus merupakan kaum Bumiputera.
Sehubungan itu, kata beliau, statistik hanya tiga peratus peruntukan kepada bukan Bumiputera yang dibangkitkan Guan Eng disifatkan adil berdasarkan komposisi penduduk, bukannya bersifat sama rata.
“Keadilan itu bertujuan untuk merapatkan jurang ekonomi antara semua kaum.
“Sememangnya peruntukan belanjawan di negeri-negeri luar bandar, Sabah dan Sarawak adalah besar kerana kerajaan perlu membangunkan kawasan tersebut yang majoritinya didiami Bumiputera,” katanya.
Dalam masa sama, ujarnya, kaum bukan Bumiputera pula rata-rata tinggal di bandar-bandar besar yang mana telah menikmati pembangunan negara.
Kaum Cina umpamanya, kata beliau, mendominasi perniagaan di bandar, manakala majoriti Bumiputera masih menjadi petani dan nelayan di luar bandar.
Sehubunga itu, tambahnya, langkah menaikkan peruntukan kepada 10 peratus kepada kaum bukan Bumiputera juga bermakna akan mengurangkan peruntukan kepada luar bandar.
“Hakikatnya, kita perlukan polisi yang adil, demi menjaga keharmonian semua kaum dan kebajikan semua.
“Keadilan itu apabila membantu keperluan semua kaum tanpa kekangan statistik 10 peratus atau tidak, dan Guan Eng selaku bekas Menteri Kewangan seharusnya faham konsep sebegini,” katanya. – MalaysiaGazette