Muhammad Asmawi Sulaiman

KUANTAN – Anggota pengakap sekolah rendah dan menengah di sekitar Kuantan boleh melakukan pelbagai aktiviti ibadah di Rumah Ngaji Pengakap yang terletak di Kampung Tengah, di sini sepanjang bulan Ramadan ini.

Penolong Pesuruhjaya Pengakap Pahang, Muhammad Asmawi Sulaiman berkata, sejak  seminggu Ramadan berlalu, lebih 20 peserta telah mengambil bahagian dengan melakukan pelbagai aktiviti di situ.

Antara pengisian utama ialah program tadarus al-Quran, solat jemaah dan tarawih serta Qiamulail yang dipantau oleh dua imam.

”Apa yang menarik,  peserta yang melengkapkan aktiviti sepanjang bulan Ramadan dapat kumpul cop pengesahan segala aktiviti yang dilakukan.” katanya.

Rumah Ngaji Pengakap setelah diselenggara oleh 20 ahli Pengakap Kelana Kuantan dalam tempoh sebulan yang memulakan operasi pada 2 Ramadan.

 

Jelas Asmawi, objektif program berkenaan bagi menjadikan pelajar disiplin dan komited untuk menjalani ibadah puasa, di samping memupuk semangat cintakan ilmu pengajian al-quran.

”Insya-Allah penghujung 10 Ramadan terakhir akan diadakan Qimualail setiap malam.

”Selain itu kita adakan Pertandingan Azan Cilik bagi meningkatkan keyakinan mengalunkan azan di sini,” katanya.

Peserta yang mempunyai markah terkumpul tertinggi akan dinobatkan sebagai pemenang pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

Dalam pada itu Pengerusi Jawatankuasa JPKK Kampung Tengah Kampung Jawa, Md Jamil Pauzi berkata, pihaknya berharap Rumah Ngaji Pengakap itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat.

Katanya, aktiviti mengaji percuma di tengah bandar raya ini sangat strategik dan memudahkan penglibatkan peserta di kawasan berkenaan sekali gus dapat meringankan beban ibu bapa bagi menampung kos upah mengaji jika mempunyai anak ramai.

”Sebelum ini empat tahun rumah ini pernah dijadikan tempat mengaji namun dihentikan kerana kekurangan dana, namun tahun ini diteruskan semula.

”Program ini dikendalikan dan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Pengakap Kelana G, terima kasih kepada semua pihak yang banyak menyumbang,” katanya.

Sebelum ini MalaysiaGazette melaporakan sebuah rumah kayu berusia hampir 100 tahun di Kampung Tengah di sini diwakafkan dan dihidupkan semula menjadi Rumah Ngaji Pengakap. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here