AMERIKA SYARIKAT – Seorang banduan di Amerika Syarikat (AS) dihukum mati dengan menggunakan regu tembak menjadikannya eksekusi pertama menggunakan kaedah itu dalam tempoh 15 tahun.
Banduan tersebut, Brad Sigmon, 67 tahun, telah menjalani hukuman mati di Penjara Broad River, Columbia pada 7 Mac lalu.
Menurut jurucakap penjara South Carolina, Chrysti Shain, Sigmon disahkan meninggal dunia oleh seorang doktor pada jam 6.08 petang, tiga minit selepas tembakan dilepaskan.
Sigmon diberi hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh ibu bapa bekas teman wanitanya menggunakan kayu besbol pada tahun 2001.
Dia diikat di kerusi di dalam bilik eksekusi dengan memakai pakaian serba hitam dengan tanda sasaran di bahagian jantungnya.
Dalam kenyataan terakhir yang dibacakan oleh peguamnya, Gerald ‘Bo’ King, Sigmon menyampaikan mesej cinta dan menyeru penganut Kristian agar berusaha menghentikan hukuman mati.
Regu tembak yang terdiri daripada tiga orang sukarelawan daripada Jabatan Pemasyarakatan South Carolina melepaskan tembakan melalui celah dinding kira-kira lima meter dari Sigmon.
Menurut peguamnya, Sigmon memilih regu tembak berbanding suntikan maut atau kerusi elektrik kerana bimbang kaedah lain lebih menyakitkan.
Permohonan rayuan terakhirnya ke Mahkamah Agung serta pengampunan daripada Gabenor South Carolina, Henry McMaster, ditolak.
Eksekusi itu sebelum ini kali terakhir di Utah pada tahun 2010. – Agensi