KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan menyerahkan keseluruhan gaji dan elaunnya kepada enam buah surau sekitar Parlimennya sempena Ramadan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, ia adalah kesinambungan sumbangannya kepada rumah ibadat di Parlimen Sungai Buloh.
“Pada hari ini, antara surau yang menerima manfaat itu ialah Surau Madrasatul Falahiyah, Surau An-Najah Taman Subang Idaman, Surau At-Taqwa, Surau As-Salam, Surau Al-Mukim, dan Surau Al-Hidayah.
“Sejak saya dipilih sebagai Ahli Parlimen Sungai Buloh pada 2022, lebih RM580,000 daripada keseluruhan gaji dan elaun saya telah disumbangkan kepada hampir 100 rumah ibadat dalam kawasan Parlimen Sungai Buloh,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Ramanan memaklumkan, sumbangan itu adalah janji dibuat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), selain, beliau akan terus teguh berpegang pada prinsip berkenaan selagi diberi kepercayaan dan mandat sebagai Ahli Parlimen Sungai Buloh.
“Saya yakin sumbangan diterima oleh rumah ibadat ini akan dimanfaatkan sebaik-baiknya demi kesejahteraan dan kebajikan komuniti setempat.
“Kita bersama-sama membina masyarakat yang lebih harmoni dan sejahtera,” ujarnya.
Dalam hantaran terbaharu di laman sosialnya itu, Ramanan turut memuat naik beberapa keping gambar beliau membuat serahan sumbangan tersebut. – MalaysiaGazette