BERLIN – Beratus-ratus penerbangan telah dibatalkan di seluruh Jerman selepas pekerja lapangan terbang melancarkan mogok di seluruh negara.
Mogok itu menimbulkan gangguan besar bagi pengembara udara.
Tindakan perindustrian yang diketuai oleh kesatuan sekerja Verdi, bermula tanpa diduga pada hari Ahad di Lapangan Terbang Hamburg, sebelum protes itu berkembang ke seluruh negara.
Penumpang di Frankfurt, Munich, Berlin dan hab utama lain telah digesa supaya tidak pergi ke lapangan terbang, berikutan operasi terganggu teruk.
Frankfurt, lapangan terbang paling sibuk di Jerman berkata, penumpang tidak akan dapat menaiki penerbangan dan pemindahan “hampir pasti” akan terjejas.
Verdi, yang mewakili sektor awam dan pekerja pengangkutan, sedang dalam pertikaian berterusan mengenai gaji dan situasi kerja.
Media Jerman melaporkan beribu-ribu penerbangan boleh dibatalkan sepanjang hari, mengganggu perjalanan untuk lebih 500,000 penumpang.
Lufthansa, yang hab utamanya di Frankfurt, mengesahkan “kelewatan dan pembatalan yang meluas” di semua syarikat penerbangannya, manakala Lapangan Terbang Munich memberi amaran tentang “jadual penerbangan yang sangat terhad’.
Kebanyakan daripada 1,770 penerbangan berjadual Lapangan Terbang Frankfurt telah dibatalkan, manakala majoriti 820 penerbangan Munich dijangka dibatalkan.
Beratus-ratus lagi pembatalan dijangkakan di seluruh Stuttgart, Dusseldorf, Cologne dan Berlin.
Ramai penumpang sudah mendaftar masuk bagasi mereka dan menghadapi masalah untuk mengembalikannya, menurut penyiar awam NDR.
Ia juga melaporkan mogok itu telah menyebabkan trafik udara di Lapangan Terbang Hanover terhenti.
Di luar lapangan terbang, Verdi juga telah menggesa mogok disertai oleh pekerja pengumpulan sisa di beberapa bandar Jerman, termasuk Berlin, Essen dan Kiel, mengakibatkan tong sampah tidak dikosongkan sejak minggu lalu.
Kesatuan itu menuntut kenaikan gaji 8% untuk pekerja lapangan terbang, atau sekurang-kurangnya €350 (RM1,681) sebulan, bersama-sama dengan bonus yang lebih tinggi dan masa rehat tambahan.
Majikan setakat ini menolak tuntutan ini atas alasan tidak mampu.
Mogok lanjut dijangka diteruskan minggu ini dalam kemudahan yang dikendalikan oleh kerajaan persekutuan dan pihak berkuasa tempatan, lapor agensi berita DPA, memetik jurucakap Verdi.
Rundingan pusingan seterusnya dijadualkan berlangsung pada hari Jumaat di Potsdam. – Agensi