Uttar Pradesh, India- Berang kerana anak perempuannya ingkar arahan untuk tidak bermain dengan anak jiran, seorang lelaki tergamak menjerut darah daging sendiri sebelum mengerat mayat kanak-kanak malang tersebut kepada beberapa bahagian.
Menurut laporan media tempatan, kanak-kanak perempuan bernama Thaani,5, telah beberapa kali diberi peringatan supaya tidak keluar dan pergi ke rumah jiran sebelah.
Ini kerana kedua-dua keluarga yang sebelum ini mempunyai hubungan rapat, sudah bermasam muka baru-baru ini.
Pembunuhan Thaani disedari apabila keluarganya membuat laporan polis di atas kehilangan kanak-kanak tersebut.
Empat pasukan polis khas akhirnya menemukan beberapa bahagian badan mangsa di bendang berhampiran rumahnya.
Bapa kanak-kanak tersebut kemudiannya melarikan diri apabila pihak polis mengesahkan kematian Thaani sebagai kes bunuh.
Dia bagaimanapun berjaya ditahan selepas operasi menjejakinya dijalankan pihak berkuasa.- Agensi