Black Soldier Fly Larvae (BSFL) atau larva lalat tentera hitam yang kini semakin popular sebagai sumber makanan alternatif untuk ternakan, terutamanya dalam industri ayam.

SERDANG  – Black Soldier Fly Larvae (BSFL) atau larva lalat tentera hitam kini semakin popular sebagai sumber makanan alternatif untuk ternakan, terutamanya dalam industri ayam.

Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM), telah melakukan kajian dalam mencari substrat yang sesuai untuk menyokong pembiakan dan perkembangan larva ini.

Substrat sangat memainkan peranan penting dalam kualiti BSFL yang dihasilkan kerana mempengaruhi kadar pertumbuhan, perkembangan serta kandungan nutrien dalam larva tersebut. Penggunaan BSFL dalam diet ayam boleh meningkatkan kadar pertumbuhan, pengeluaran telur, dan kualiti daging ayam.

Menurut Pegawai Pertanian, ITAFoS, UPM, Eddy Shahriza Jamein, penggunaan hampas soya, sisa sayur, sisa kek, dan hampas kelapa sebagai substrat dalam kajian BSFL untuk mengkaji potensi dan kesan substrat-substrat ini terhadap kandungan nutrien dan pertumbuhan larva.

Pelajar Sarjana Sains (Pemakanan Haiwan), ITAFoS, UPM, Nur Fatihah Abd Jakfar
dan Pelajar Master Sains (Produksi Haiwan), ITAFoS, UPM, Nor Natasha Md Nasir sedang
menganalisa ketumbuhbesaran Black Soldier Fly Larvae (BSFL) atau larva lalat tentera
hitam.

“Selalunya saiz larva BSF bergantung kepada substrat yang digunakan kerana jika substrat yang digunakan mempunyai nutrien yang bagus, saiznya akan menjadi besar.

“Pemilihan substrat yang tepat amat penting untuk menghasilkan BSFL berkualiti tinggi demi memberi manfaat kepada industri ternakan ayam bagi menghasilkan daging dan telur lebih berkualiti,” katanya.

Pakar produksi poltri, Prof. Dr. Datuk Zulkifli Idrus berkata, penggunaan BSFL dapat mengurangkan kos makanan dalam ternakan poltri serta kebergantungan sumber bijirin yang lebih mahal dan terdedah kepada ketidakstabilan harga.

“Penggunaan BSFL merupakan gantian sumber protein bagi makanan ternakan tradisional seperti soya dan melalui penyelidikan yang dijalankan amatlah bersesuaian dalam ternakan poltri.

“Pada pandangan saya, penggunaan BSFL dalam industri ternakan poltri dijangka terus relevan pada masa akan datang kerana merupakan alternatif yang dapat menyokong ketahanan makanan global,” katanya.

Pelajar Master Sains (Pemakanan Haiwan), ITAFoS, UPM, Nur Fatihah Abd Jakfar berkata, proses pembiakan BSFL dalam kajian ini membantu mengurangkan
kebergantungan kepada sumber protein tradisional yang semakin terhad dan mahal.

“Alternatif dalam penggunaan substrat ini bukan hanya memberikan penjimatan kos, tetapi turut memberi manfaat jangka panjang dalam keberlanjutan industri ternakan kerana membantu mengurangkan pembaziran dengan menggunakan bahan-bahan terbuang seperti sisa makanan,” katanya.

Dalam pada itu, ITAFoS telah menubuhkan Unit BSF yang terletak di Pusat Penyelidikan Haiwan bagi mengkaji alternatif protein yang sesuai untuk proses pembuatan makanan ternakan ayam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here