KUALA LUMPUR- Kakak kepada pemandu kereta Honda Jazz yang terlibat dalam nahas yang mengorbankan dua beradik di Senawang, Negeri Sembilan, 6 Mac lalu, hari ini tampil memohon maaf kepada keluarga mangsa dan rakyat Malaysia.
Ia susulan kenyataan yang wanita yang dikenali sebagai Nur Athirah Najwa yang mempertahankan adiknya yang menjadi penyebab kepada kemalangan tersebut.
“Assalamualaikum, saya Nur Athirah Najwa, kakak kepada pelaku yang terbabit dalam kemalangan di Senawang.
“Saya ingin memohon maaf kepada pihak keluarga mangsa dan semua rakyat Malaysia atas posting (hantaran) dan komen yang keterlaluan sehingga membuat semua marah.
“Saya sedar saya muat naik posting dan komen itu dalam keadaan yang emosi. Saya betul-betul minta maaf dan saya menyesal,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/03/07/dua-maut-honda-jazz-langgar-dua-buah-motosikal/
Nur Athirah Najwa sebelum ini mencetuskan kemarahan warganet apabila mengeluarkan beberapa kenyataan di media sosial yang mempertahankan adiknya.
Sedangkan, rakaman video papan pemuka yang tular di media sosial serta kenyataan Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din menunjukkan pemandu Honda Jazz terbabit memandu secara berbahaya dan melanggar lampu isyarat merah.
Pemandu yang berusia 18 tahun itu juga disahkan tidak mempunyai lesen memandu.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam, 7 Mac lalu, dua beradik masing-masing berusia 15 dan 16 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas motosikal yang dinaiki dilanggar kereta berkenaan.
Selain mangsa yang terkorban, kemalangan tersebut turut menyebabkan penunggang dan pembonceng sebuah lagi motosikal mengalami kecederaan parah.-MalaysiaGazette