Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff bercakap. Foto SADIQ SANI, 27 FEBRUARI 2025

HAMPIR dua tahun pelaksanaannya selepas dilancarkan pada 26 Julai 2023, kerangka Ekonomi MADANI hari ini semakin menunjukkan kemampuannya dalam mencapai dua objektif utama yang digariskan iaitu pengukuhan ekonomi negara dan meningkatkan kualiti hidup keseluruhan rakyat.

Tiga teras utama yang menyokong kerangka Ekonomi MADANI iaitu menaikkan siling dan lantai serta tata kelola baik dan reformasi sektor awam turut dilihat bergerak seiringan.

Ia sekali gus menunjukkan kerangka ekonomi itu berada di landasan tepat dalam mencapai objektifnya.

Antara inti pati utama kerangka Ekonomi MADANI yang menjadi perhatian umum sudah pastinya Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Kedua-dua bentuk sumbangan wang tunai yang disalurkan secara terus kepada rakyat ini ternyata satu inisiatif yang dapat membantu kumpulan sasar khususnya golongan B40 untuk mendepani cabaran kos sara hidup.

Kerangka ekonom yang dilancar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tertumpu kepada dua objektif utama yang digariskan iaitu pengukuhan ekonomi negara dan meningkatkan kualiti hidup keseluruhan rakyat.

Peruntukan hampir RM13 bilion menerusi inisiatif SARA misalnya, merupakan satu bentuk kelegaan yang besar kepada penerimanya iaitu golongan berpendapatan rendah dalam membeli barangan keperluan asas.

Apa yang jelas, kerangka Ekonomi MADANI merupakan kesinambungan daripada tumpuan atau fokus Kerajaan MADANI sejak menerajui pentadbiran negara ke arah memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Matlamat kerajaan pastikan rakyat tidak tertinggal

Seperti yang sering ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, antara matlamat utama perancangan dasar dan polisi Kerajaan MADANI adalah memastikan tidak ada mana-mana rakyat yang tertinggal daripada menikmati pertumbuhan ekonomi negara yang pesat dan positif.

Ini bermakna rakyat kebanyakan sebenarnya masih mampu mendepani kenaikan harga barang khususnya menerusi sokongan bantuan seperti STR dan SARA, selain peningkatan pendapatan menerusi cabang ekonomi yang terus berkembang.

Perkara sama turut dikongsikan Pengarah Program MBA dari Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menerusi segmen PodcastMG: Kerangka Ekonomi Madani: Bela Hak Rakyat baru-baru ini.

Jelas beliau, bantuan STR dan SARA merupakan satu bentuk sokongan kewangan yang sangat membantu khususnya bagi golongan berpendapatan rendah sama ada di pedalaman, lebih-lebih lagi di bandar-bandar besar.

Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff. Foto NURIEZANIE ANWAR, 27 FEBRUARI 2025.

Ujarnya, walaupun nilai yang disalurkan itu dianggap kecil iaitu antara RM100 hingga RM200 sebulan, namun bagi golongan berpendapatan rendah, jumlah itu sangat besar dan memberi impak kepada perbelanjaan harian mereka.

Apatah lagi bagi golongan berpendapatan rendah yang menetap di Kuala Lumpur dan Selangor misalnya, mereka perlu menanggung anggaran perbelanjaan isi rumah lebih RM5,000 sebulan dengan gaji minimum yang diterima kira-kira RM1,700 sebulan.

Gambar hiasan

“Ini belum lagi dikira dengan perbelanjaan bermusim seperti seperti persiapan buka sekolah, menyambut Ramadan dan Aidilfitri, atau perbelanjaan kecemasan seperti kos membaiki kereta, perubatan dan sebagainya yang perlu difikirkan oleh golongan berpendapatan rendah dan golongan miskin.

“Jadi sebab itu bantuan STR dan SARA ini diberikan secara berkala, kerana ia lebih bersifat menyokong kepada keperluan-keperluan dalam tempoh mendesak selain sebagai perbelanjaan tambahan isi rumah golongan miskin dan berpendapatan rendah,” katanya.

STR, SARA rancakkan ekonomi

Secara jangka panjang pula, kerangka Ekonomi MADANI khususnya menerusi pemberian STR dan SARA dapat merancakkan aktiviti ekonomi sekali gus memastikan ekonomi negara terus berkembang.

Setakat 15 Februari lalu misalnya, sebanyak RM67 juta telah dibelanjakan oleh penerima STR dan SARA yang sekali gus memberi impak kepada peningkatan aktiviti jualan barangan dan perkhidmatan.

Seperti dijelaskan Ahmed Razman, wang yang dibelanjakan penerima STR dan SARA itu membolehkan sektor peruncitan khususnya berkembang termasuk dengan menggajikan lebih ramai pekerja tempatan.

Orang ramai membeli barangan keperluan sebagai persiapan bulan Ramadan bermula esok 2 Mac bersamaan dengan 1 Ramadan 1446 Hijrah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Besar Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 1 MAC 2025

“Apabila suntikan fiskal ini berlaku iaitu menerusi sumbangan STR dan SARA oleh kerajaan, maka berlaku kecairan wang yang dibelanjakan oleh rakyat, jadi ini akan meningkatkan aktiviti ekonomi yang turut memberi kesan rantaian yang lebih.

“Ini juga akan meningkatkan KDNK kerana banyak barangan dapat dihasilkan untuk memenuhi permintaan rakyat sekali gus aktiviti perniagaan setempat dapat dikembangkan,” katanya.

Dengan impak positif daripada pemberian STR dan SARA terhadap pertumbuhan ekonomi negara itu, maka tidak mustahil Kerajaan Perpaduan akan meningkatkan nilai pemberian dan jumlah penerimanya pada tahun-tahun mendatang.

Apatah lagi dengan rancangan pelarasan subsidi petrol RON95 yang dijangka bermula Julai ini, kerajaan dapat melakukan penjimatan antara RM8 bilion hingga RM12 bilion setahun yang dapat digunakan sebahagiannya untuk memperluas inisiatif STR dan SARA.

Pengarah Program MBA, Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff ditemubual MalaysiaGazette pada program Podcast MG yang bertajuk ‘Kerangka Ekonomi Madani: Bela Hak Rakyat!’ di Studio MG, Kompleks Permaisuri Q, Kuala Lumpur. Foto NURIEZANIE ANWAR, 27 FEBRUARI 2025.

Perkara yang sama juga dapat dilakukan kerajaan yang menaikkan nilai pemberian dan jumlah penerima STR dan SARA kira-kira RM4 bilion tahun ini iaitu penambahan hasil penjimatan daripada pelarasan subsidi diesel sebelum ini.

Tata kelola kesungguhan laksana pelarasan subsidi

Bagi Ahmed Razman, pemberian yang tinggi menerusi STR dan SARA itu tidak mungkin boleh dilakukan tanpa adanya tata kelola dan tadbir urus yang baik serta berkesan dalam pentadbiran Kerajaan MADANI, termasuk dalam kesungguhan melaksanakan pelarasan subsidi.

Dalam masa sama, ia turut disokong menerusi dasar-dasar kompetitif lain seperti pengenalan cukai kepada golongan T20 termasuk cukai  barangan mewah serta inisiatif menaikkan lantai pendapatan supaya majoriti rakyat mendapat gaji yang kompetitif.

Dengan segala tumpuan itu, tidak mustahil matlamat kerangka Ekonomi MADANI yang bertujuan memastikan keadilan menyeluruh untuk semua rakyat dan mentransformasi ekonomi negara yang mampan dan adil dapat dicapai lebih awal daripada yang disasarkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here