MELAKA – Seorang pengguna Facebook (FB) berkongsi pengalamannya membeli sebungkus nasi kerabu yang sudah berulat dipercayai berlaku di Bazar Ramadan Jasin Bestari, Jasin, semalam.
Melalui perkongsian di FB Geng Bandar Jasin Bestari, individu yang enggan dikenali itu turut memuat naik video berdurasi lapan saat menunjukkan empat ekor ulat sedang bergerak dalam nasi kerabu dibeli bertarikh semalam atau 9 Mac 2025.
“Kalau nak berniaga tolonglah jaga kualiti dan kebersihan makanan. Bayangkan nak berbuka (puasa) tiba-tiba nampak (ulat) berkeliaran dalam nasi.
“Tak berkat cari rezeki dengan aniaya orang lain. Please la make sure kebersihan itu diutamakan, benda nak masuk perut dan untuk peniaga lain ambillah pengajaran,” tulisnya lagi.
Menurut pelanggan berkenaan, tujuannya berkongsi adalah supaya peniaga berkenaan yang tidak didedahkan dapat memperbaiki kualiti makanan selain menjadi pengajaran kepada peniaga lain.
“Hari ini (semalam) baru 8 Ramadan, saya tak nak orang lain kena macam saya,” katanya lagi.
Pemerhatian MalaysiaGazette mendapati status berkenaan mendapat hampir 200 reaksi, 157 komen dan dikongsi sebanyak 42 kali.
Rata-rata mereka berkongsi pengalaman pernah berdepan situasi sama berpunca daripada sikap peniaga yang sanggup menjual makanan tidak laku pada hari sebelumnya menyebabkan ia cepat rosak.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ruzita Mustaffa ketika dihubungi MalaysiaGazette berkata akan menyemak dakwaan itu.
“Saya akan semak dengan PKD (Pejabat Kesihatan Daerah) dan sebarang maklumat akan disampaikan segera,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette