Polis melakukan pemeriksaan dan merampas 90 keping karkas babi dipercayai diseludup dari negara jiran dari sebuah lori di Taman Industri Jaya, Skudai di sini Jumaat lalu.

ISKANDAR PUTERI – Polis menahan seorang lelaki dan merampas 90 keping karkas babi dipercayai diseludup dari negara jiran selepas memeriksa sebuah lori di Taman Industri Jaya, Skudai di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, sepasukan anggota Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama-sama Jabatan Veterinar negeri melakukan pemeriksaan pada pukul 11.10 malam.

“Menerusi serbuan itu sebanyak 90 keping karkas babi bersamaan 45 ekor babi, sebuah lori dan serangkai kunci dirampas. Nilai anggaran rampasan kontena bersama-sama muatan babi RM375,000.

“Suspek berusia 33 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan yang sah. Jabatan Veterinar juga mengesahkan keratan karkas babi tersebut bukan dari mana-mana rumah sembelihan yang diluluskan atau dilesenkan oleh Jabatan Veterinar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Jabatan Veterinar negeri untuk tindakan lanjut.

Siasatan dijalankan bawah Kaedah-kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 Akta Binatang 1953 iaitu tiada seorang pun boleh menjual, mempamerkan untuk dijual atau memiliki apa-apa karkas binatang yang tidak disembelih di rumah penyembelih diluluskan atau rumah penyembelih dilesenkan.

Jika sabit kesalahan ujarnya, boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000.

Pihak polis akan terus komited dalam membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang, sebarang maklumat boleh menyalurkan ke balai polis berdekatan atau pusat kawalan daerah Iskandar Puteri 07-5113622@hotline 07-5114486.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here