KUALA LUMPUR – Program DIY MADE SIMPLE 2025 anjuran Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama jenama gergasi tempatan, Mr D.I.Y., kembali dengan tema baharu, Waste to Energy: Innovate for a Greener Future memberi peluang kepada pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia untuk meneroka potensi sisa sebagai sumber tenaga lestari.
Bermula dari 17 Februari hingga 8 Ogos 2025, pertandingan di bawah seliaan Pusat Jalinan Masyarakat UM (UMCares) ini bukan sekadar mencabar kreativiti, tetapi juga memupuk kesedaran terhadap kepentingan tenaga boleh diperbaharui.
“Program ini berfungsi sebagai platform untuk pelajar sekolah menengah mengembangkan daya cipta mereka melalui projek DIY yang memberi impak kepada alam sekitar,” jelas Dr. Muhammad Hadi Mustafa, pensyarah kanan dari Fakulti Alam Bina UM yang juga merupakan salah seorang mentor utama program.

Dengan bimbingan pensyarah UM, peserta bukan sahaja mengaplikasikan konsep STEM tetapi juga membangunkan kemahiran menyelesaikan masalah, bekerjasama dalam pasukan, dan mengasah pemikiran keusahawanan. Lebih daripada sekadar pertandingan, program ini bertujuan melahirkan generasi inovator yang bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Tahun lalu, pertandingan ini berjaya menarik penyertaan dari 192 sekolah, dengan projek pemenang mempamerkan kreativiti dalam mengolah bahan buangan kepada produk baharu.
Tetapi, tahun ini, cabaran yang diberikan lebih mencabar dengan penekanan kepada inovasi tenaga lestari. Dengan tema ini, para peserta digalakkan untuk mengembangkan penyelesaian tenaga yang mesra alam, menggunakan sumber buangan yang sebelum ini dianggap tidak bernilai.
“Kami mahu pelajar melihat sisa bukan sebagai bahan buangan semata-mata, tetapi sebagai peluang untuk mencipta sesuatu yang bermanfaat,” ujar Prof. Madya ChM Dr. Noraini Ahmad, Pengarah UMCares.
Beliau menekankan pertandingan ini bukan sahaja melatih peserta dalam bidang sains dan teknologi, tetapi juga membentuk pemimpin muda yang mempunyai pemikiran strategik dan daya tahan dalam menghadapi cabaran.
Selain meningkatkan kesedaran mengenai tenaga lestari, DIY MADE SIMPLE 2025 juga berperanan dalam membina kemahiran profesional. Pelajar yang terlibat bukan sahaja akan didedahkan kepada kaedah penyelidikan dan penciptaan inovasi, malah turut mendapat peluang untuk membina daya saing serta keyakinan diri. Dalam jangka panjang, pengalaman ini akan membentuk mereka menjadi individu yang lebih cekap, berdaya saing, dan mampu memberi impak kepada masyarakat.
Dengan hadiah menarik serta pengiktirafan di peringkat kebangsaan, DIY MADE SIMPLE 2025 bukan sekadar pertandingan, tetapi sebuah gerakan untuk melahirkan generasi muda yang inovatif dan bertanggungjawab terhadap masa depan tenaga dunia.
Dengan kreativiti dan bimbingan yang tepat, sisa hari ini boleh menjadi sumber tenaga bagi masa hadapan. – MalaysiaGazette