Gambar hiasan.

JIKA rai projek siap, projek sakit jangan dibiarkan!

Itu tegas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam Amanat Tahun 2025 baru-baru ini.

“Meskipun secara nisbah puratanya, jumlah projek sakit adalah kecil berbanding projek siap namun ini tidak bermakna kita boleh berpuas hati dan merasa bangga.

“Tahun 2025, saya mahu melihat penurunan angka projek sakit, sekiranya boleh ke angka sifar dan kita di Kementerian Kerja Raya (KKR) harus memainkan peranan dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek.

“Saya ingin ingatkan di sini bahawa saya juga sentiasa memerhati dan turut menerima rungutan serta aduan daripada pelbagai pihak termasuk kontraktor berhubung pelbagai ketirisan di pihak kementerian dan agensi.

“Justeru, pesanan saya ialah ‘we are here to facilitate not to strangulate’. Kita harus menjadi pemudahcara yang berkesan,” tegas Alexander Nanta.

Bilangan projek sakit sebenarnya tidak boleh dipandang enteng.

Alexander Nanta Linggi

Ia memberi kesan besar terhadap ekonomi selain merugikan wang kerajaan dan rakyat yang tidak mendapat tahap kualiti jalan raya sebenar.

Setakat awal tahun ini, sebanyak 29 daripada 801 projek fizikal yang sedang dalam pembinaan dan seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dikategorikan sebagai projek sakit.

Walaupun sedikit namun ia jangan dianggap remeh kerana melibatkan kepentingan negara dan rakyat.

Punca utama projek sakit seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) adalah melibatkan faktor keupayaan kontraktor.

Ia menjadi 77 peratus sebab berlaku projek sakit selama ini.

Selain itu bagi rekod setakat awal tahun ini, faktor lain yang menyumbang adalah faktor pelbagai (20 peratus) dan faktor di pihak pelanggan (tiga peratus).

Menurut sumber, bagi faktor pihak kontraktor, kelewatan berpunca daripada kelemahan pengurusan dalaman, masalah aliran kewangan dan kelewatan pembekalan bahan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Faktor pelbagai pula seperti kelemahan pemantauan dan kerjasama antara Pegawai Penguasa Projek dan kontraktor, isu teknikal, isu pengambilan balik tanah, masalah geologi tapak bina, cuaca serta bencana alam.

Faktor pelanggan pula seperti penambahan dan perubahan skop atas kehendak pelanggan.

Sehubungan itu, KKR dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terus memperbaiki metodologi perancangan, pelaksanaan dan pemantauan projek selain sedaya upaya mengaplikasikan inovasi dan digitalisasi teknologi dalam memantau serta mengatasi halangan yang timbul di tapak binaan.

Menurut kenyataan itu, JKR akan menerapkan mekanisme amaran dan peringatan awal agar projek bermasalah dapat dikenal pasti secepat mungkin sebelum ia menjadi projek sakit selain menekankan persefahaman antara Pegawai Penguasa Projek, JKR, perunding, kontraktor dan agensi kerajaan terlibat dalam memastikan kejayaan projek pembinaan dan penyenggaraan.

Pengurusan yang cekap dalam aspek perancangan dan pengurusan projek, pemantauan kualiti kerja, pengurusan masa dan kos, kepekaan terhadap keselamatan di tapak pembinaan adalah kunci untuk memastikan pembinaan dilaksanakan dengan baik dalam tempoh kontrak ditetapkan yang akhirnya meningkatkan sistem penyampaian kementerian dan kualiti kesejahteraan rakyat MADANI.

Malah kontraktor yang dikenal pasti punca projek sakit perlu diketepikan bagi mendapat projek lain kerana biar rekod menjadi bukti.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan mendedahkan, sebanyak 29 atau 3.62 peratus projek di bawah pemantauan KKR tahun ini diklasifikasikan sebagai projek sakit setakat ini.

Jumlah itu adalah daripada keseluruhan 801 projek yang diuruskan KKR menerusi JKR ketika ini.

Faktor utama yang dikenal pasti kelewatan projek itu adalah disebabkan kegagalan kontraktor yang dilantik dengan isu paling utama adalah kelemahan pengurusan dalaman.

Selain itu kegagalan kontraktor yang dilantik juga disebabkan kelemahan daripada aspek penjadualan dan perancangan projek, berdepan dengan masalah aliran kewangan selain kelewatan pembekalan bahan sistem binaan berindustri (IBS).

“Kegagalan dari segi kontraktor yang dilantik ini menyumbang kepada 77 peratus kelewatan atau projek sakit.

“Selain itu, 20 peratus lagi projek sakit disebabkan isu teknikal dan kerumitan di tapak pembinaan seperti kelewatan pengambilan tanah, halangan di tapak bina serta masalah cuaca dan bencana.

“Selain itu, kelewatan projek juga berlaku disebabkan oleh tambahan atau perubahan skop pembinaan daripada pelanggan iaitu sebanyak tiga peratus,” kata Ahmad Maslan.

Ditanya berkenaan tindakan terhadap kontraktor yang bermasalah dalam 29 projek sakit, Ahmad berkata, pihaknya akan memberi sekurang-kurangnya tiga surat amaran terlebih dahulu kepada kontraktor terlibat.

Jelas beliau, sekiranya kontraktor terlibat masih gagal menangani isu yang dihadapi, mereka akan dibawa ke satu jawatankuasa khas dan mungkin boleh dikenakan notis tujuan penamatan.

Selain itu, katanya, terdapat juga kontraktor yang dikenakan denda kelewatan menyiapkan projek secara harian yang nilai kompaunnya bergantung kepada saiz projek.

“Daripada 29 projek sakit ini juga, ada dua ke tiga kontraktor yang akan kita berikan notis penamatan, sudah semestinya selepas itu kontraktor tersebut akan disenarai hitam,” katanya.

Apa pun, beliau menaruh keyakinan untuk mencapai sasaran sifar projek sakit sepanjang tahun ini meskipun ketika ini terdapat 3.62 peratus projek sakit.

Apa pun, masalah itu hanya boleh ditangani sekiranya kontraktor yang dilantik dapat memperbaiki masalah dalaman syarikat masing-masing.

Yang penting soal komitmen dan pengurusan dan pemilihan dibuat berdasarkan rekod bukan pilihan peribadi.

Punca berlaku kegagalan kontraktor bukan disebabkan faktor kenaikan harga bahan-bahan binaan tapi lebih kepada kelemahan pengurusan.

Namun jika ia diberi tumpuan oleh KKR tidak mustahil tahun ini pihaknya dapat mensifarkan projek sakit dan memastikan kelancaran pengurusan projek-projek infrastruktur rakyat tanpa lanjutan masa.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here