MELAKA – “Kepada semua penderma, kalian dah boleh hentikan sumbangan kepada anak saya dan salurkan pula wang itu pada kanak-kanak pesakit kanser lain pula kerana kos RM344,844 untuk ubat kanser saraf anak tunggal kami Nur Sumayyah sudah mencukupi.
“Saya takut hendak pegang duit banyak-banyak kerana ini amanah penderma cuma saya mohon jangan berhenti mendoakan serta sokongan agar Sumayyah sihat dan bebas kanser selepas ini”.
Itu perasaan sebak dikongsikan Azroyhatta Md Jais, 35, mengenai perkembangan terkini anak tunggalnya berusia tujuh tahun yang sudah berjaya mengumpulkan hampir RM370,000 setakat hari ini bagi kos ubat kanser saraf dihidapinya secara tiba-tiba pada Oktober tahun lalu.
Juruteknik kilang berpendapatan sekitar RM2,000 sebulan itu terharu dengan keprihatinan semua pihak yang tidak putus-putus menyalurkan sumbangan membantunya sejak kisahnya Sumayyah tular di media sosial sejak 6 Februari lalu.
Ketika itu, niatnya menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan ADUN Kesidang, Allex Seah Shoo Chin sekadar untuk memohon surat sokongan bagi mendapatkan bantuan Pusat Zakat Melaka dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Rupanya mereka berkongsi di media sosial dan dari situlah ramai membantu termasuk disiarkan di media sehinggalah Jumaat lalu, Allah cukupkan dana walaupun ketika kutipan berjumlah RM318,000 saya dah mohon YB Helmy dan YB Allex untuk hentikan dulu sumbangan kepada saya.
“Lagi pun, masa itu jumlah berkenaan tidak termasuk lagi bantuan daripada Pusat Zakat Melaka untuk cukupkan RM344,844 namun tidak sangka orang ramai terus membantu sehingga ia lebih daripada cukup.
“Saya pun sudah niat, lebihan duit ini saya akan bantu juga dari segi kos makanan pesakit kanser di rumah kanser Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur,” jelasnya.
Bercerita lanjut mengenai keadaan terkini Nur Sumayyah, hari ini dia dan isteri membawa anak perempuannya itu ke HTA untuk rawatan kemoterapi tambahan.
“Alhamdulillah, keadaan Sumayyah semakin baik walaupun kadang kala emosinya terganggu namun berkat doa semua saya dan isteri percaya Allah akan permudahkan segalanya.
“Terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang sangat banyak membantu dan pastinya Ramadan kali ini memberi makna besar buat keluarga kecil kami,” katanya hiba.

Selasa lalu, MalaysiaGazette melaporkan kisah Nur Sumayyah yang secara tiba-tiba disahkan mengidap kanser saraf atau neuroblastoma walaupun dilahirkan sihat tanpa sebarang simptom penyakit.
Episod hitam itu bermula pada 26 Oktober tahun lalu apabila kanak-kanak itu kerap demam pada waktu malam selama seminggu selain sakit perut dan hasil pemeriksaan, doktor pakar mengesahkan ketumbuhan besar di perutnya adalah sel kanser.
Selepas selesai pembedahan membuang sel kanser dan kemoterapi, Nur Sumayyah perlu mengambil 15 botol ubat Qarziba keseluruhannya berjumlah RM344,844 untuk mencegah kanser saraf itu daripada muncul semula yang dijangka mula diambil seawal September ini. – MalaysiaGazette