GEORGE TOWN – Yayasan Global Mesra terus komited dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan dengan mengagihkan sebanyak 15,000 kotak Rahmah kepada rakyat yang memerlukan di seluruh Malaysia sepanjang bulan Ramadan.
Penasihatnya, Datuk Seri Salim Abdul Rahman berkata, inisiatif itu dilaksanakan setiap tahun bagi meringankan beban keluarga yang menghadapi kesukaran dalam bulan penuh keberkatan ini.
Program pengagihan kotak bantuan itu tidak terhad kepada kawasan tertentu sahaja, sebaliknya diperluaskan ke seluruh negara untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Untuk hari ini, kita edar 500 kotak Rahmah kepada penduduk sekitar Air Itam khususnya Kampung Melayu serta majlis berbuka puasa termasuk pemberian sumbangan kewangan kepada golongan yang memerlukan.
“Memandangkan saya merupakan anak jati Kampung Melayu jadi saya tahu bagaimana ibu bapa di sini, berdepan kesusahan kerana saya sendiri pernah melalui situasi itu suatu ketika dahulu.
“Alhamdulillah, kini saya dikurniakan rezeki lebih jadi saya kongsi untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya kepada pemberita.
Setiap kotak Rahmah yang diagihkan mengandungi barangan asas seperti beras, minyak masak, tepung, gula dan barangan asas lain.
Mengulas lanjut Salim berkata, objektif utama pemberian kotak Rahmah ini adalah untuk membela kebajikan golongan marhaen tanpa mengira latar belakang atau status ekonomi.
“Kami mahu memastikan tiada rakyat Malaysia yang terpaksa berlapar atau menghadapi kesukaran mendapatkan keperluan asas sepanjang Ramadan,” katanya. – MalaysiaGazette