KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) akan menguatkuasakan Seksyen 5, Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 untuk mengenal pasti pihak yang bertindak membuat perihal dagang palsu mengenai kandungan, jenis dan pelabelan beras.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini termasuk kesalahan melakukan penyelewengan penjualan beras dengan menukar bungkusan atau label beras yang boleh mengelirukan pengguna.
Menurutnya, dalam menguatkuasakan Akta 730, analisa sampel beras adalah aspek yang amat penting dalam penentuan beras putih import (BPI) dan beras putih tempatan (BPT).
“Petang ini, saya mengadakan pertemuan bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk mendengar taklimat berkaitan dapatan kajian isu percampuran BPI dengan BPT di pasaran.
“Mengambil kira MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia) kini mempunyai kepakaran melalui Teknologi Pencapjarian DNA beras, KPDN akan merujuk MARDI sebagai pihak berwibawa.
“Pada masa yang sama, KPDN sedang memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan berkaitan isu campuran beras.
“SOP siasatan ini merangkumi seluruh aspek termasuk pengurusan ekshibit sampel beras dan kebolehterimaan (admissibility) barang bukti di mahkamah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Armizan berkata, selain MARDI, KPDN juga akan memperkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Kimia Malaysia.
KPDN kata beliau, komited untuk melaksanakan penguatkuasaan bagi menangani isu beras campuran secara tidak sah melalui kesalahan membuat perihal dagangan palsu.
Jelas beliau, ia bertujuan untuk melindungi kepentingan pengguna dan sekaligus membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam agenda menambah baik industri padi dan beras negara. – MalaysiaGazette