Lee Chean Chung.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal digesa mempertimbangkan semula keputusan untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah, akan datang.

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung berkata, pengumuman tersebut mengecewakan kerajaan perpaduan yang ingin membawa kestabilan politik di negeri tersebut.

“Pengumuman ini telah mengecewakan kerajaan perpaduan, kerana rakyat Sabah menginginkan kestabilan ekonomi, peluang pekerjaan, bekalan elektrik yang stabil, serta kemasukan pelaburan dan pelancong asing, bukannya pergolakan politik yang berterusan.

“Sabah baru sahaja menikmati kestabilan politik yang sukar diperoleh. Rakyat Sabah memerlukan lebih banyak peluang pekerjaan, bekalan elektrik yang stabil, dan kemasukan pelaburan asing, bukannya pertikaian politik yang tidak berkesudahan,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Chean Chung berkata, keputusan tersebut dilihat mengelirukan kedudukan terkini ahli Warisan yang sedang memegang jawatan dalam Kabinet.

Menurut Lee, salah seorang ahli parlimen Warisan, Datuk Mohammad Yusof Apdal, kini berada dalam pentadbiran kerajaan pusat dan menduduki jawatan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi

Sehubungan itu Lee menegaskan, parti berkenaan perlu membuat pengumuman yang jelas susulan daripada keputusan untuk bertanding solo pada PRN tidak lama lagi.

“Jika Warisan benar-benar memilih untuk bertanding secara solo, adakah ahli Warisan yang memegang jawatan dalam kerajaan persekutuan perlu meletakkan jawatan sebagai tanda konsistensi dalam pendirian politik mereka?

“Warisan perlu membuat pengumuman yang jelas: adakah mereka ingin terus menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan, atau menarik diri dan menjadi pembangkang sebelum pilihan raya negeri?,” soalnya.

Jelas beliau, meskipun kerajaan perpaduan sentiasa menghormati dan mengamalkan demokrasi namun Warisan perlu bersikap adil dan telus kepada rakyat di negeri itu.

“Namun, sebelum membuat keputusan muktamad, Warisan perlu memberikan penjelasan yang telus dan bertanggungjawab kepada rakyat – adakah mereka memilih untuk keluar dari kerajaan perpaduan, atau terus bermain dua peranan dengan menikmati sumber kerajaan sambil bertindak seperti pembangkang?

“Mana-mana parti yang tidak mempunyai pendirian yang jelas akhirnya akan kehilangan kepercayaan rakyat,” tambahnya.

Pada Ahad lalu, Shafie mengesahkan Warisan akan bertanding secara solo pada PRN Sabah kali ini.

Warisan memenangi 23 kerusi, jumlah paling banyak mengikut parti pada PRN16 sebelum sebahagian wakil rakyatnya keluar parti menyebabkan kerusi disandangnya berbaki 14 kerusi.

Tempoh penggal Dewan Undangan Sabah (DUN) Sabah ke-16 akan tamat pada Oktober ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here