Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan sumbangan pada Program Ihya Ramadan Al-Mubarak Tahun 1446H/2025M Bagan Datuk di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk. Turut sama, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Foto ABDULLAH YUSOF, 10 MAC 2025.

BAGAN DATUK – Barisan Nasional (BN) berkemungkinan mengumumkan calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning seminggu lebih awal dari tarikh penamaan calon pada 12 April depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya telah membincangkan perkara berkenaan bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad selaku Pengerusi BN dan UMNO Negeri.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan MB Perak selaku Pengerusi BN dan Badan Perhubungan UMNO Perak dan kita ketahui bahawa 12 April merupakan tarikh penamaan calon.

“InsyaAllah kita akan umumkan secara rasmi (calon BN) mungkin seminggu awal,” katanya kepada pemberita selepas hadir ke Program Ihya’ Ramadan Al-Mubarak Tahun 1446 Hijrah di Dewan Perdana Kompleks UMNO Bagan Datuk semalam.

Ditanya mengenai koordinasi antara BN dan Pakatan Harapan (PH) bagi PRK Dun Ayer Kuning, Presiden UMNO itu berkata, perbincangan tidak formal dikalangan kepimpinan kedua-dua parti telah diadakan.

Beliau berkata, BN juga telah mengadakan perbincangan bersama parti komponennya dan menemui persefahaman dalam kalangan mereka.

“Datuk M. Saravanan ada menghubungi saya, pemimpin MCA Negeri juga ada menghubungi saya. Saya juga telah berbincang dengan jawatankuasa War Room di peringkat nasional mengenai gerak kerja yang telah dijalankan,” katanya.

Ahmad Zahid juga memaklukan calon yang mewakili BN pada PRK berkenaan akan dipilih daripada senarai pendek yang dikemukakan BN Negeri Perak.

Jumaat lalu, media melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandang, Ishsam, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here