MELAKA – “Saya harap sempatlah bertemu Syawal untuk beraya bersama ibu, isteri dan anak walaupun sebenarnya hati ini sudah hancur bila tahu mengidap kanser usus dan hati tahap empat.
“Di kemuliaan Ramadan ini saya mohon doa semua semoga Allah panjangkan sikit sahaja lagi nyawa saya, itu pun saya sudah bersyukur…,”.
Itu luahan hiba Mohamad Nasirudin Md Zen, 39, yang sudah menerima takdir disahkan mengidap penyakit pembunuh dalam senyap itu sejak April tahun lalu.
Bekas pekerja penghantar sampel darah itu berkata, Ramadan kali ini adalah yang pertama disambut sebagai pesakit kanser bersama isteri, Norhayati Hassan, 42, dan anak, Mohamad Akil Naufal, membuatkan diri sukar menerima kenyataan itu.

Mohamad Nasirudin dan isteri, Norhayati ketika ditemui di rumah ibunya di Kampung Jambatan Duyong, Melaka
“Sebelum ini saya lihat orang kena kanser, tapi bila kena pada diri, gelap seketika dunia sampaikan saya berkurung langsung tak mahu jumpa sesiapa selama empat bulan akibat terlalu trauma dan tertekan.
“Selama ini saya sihat dan aktif bermain ragbi sehinggalah menyedari perubahan apabila kerap sakit perut selama dua bulan menyebabkan berat badan merosot daripada 109 kilogram (kg) kepada 59 kg sahaja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jambatan Duyong, di sini, hari ini.
Menurutnya, lebih membimbangkan apabila doktor pakar mengesahkan kansernya semakin merebak sehingga pemeriksaan seterusnya yang sepatutnya dijadualkan pada bulan Mei terpaksa diawalkan kepada Khamis ini.
Mohamad Nasirudin berkata, tahap kesihatan yang lemah juga menyukarkannya untuk berjalan menyebabkan dia tidak boleh bekerja sejak November tahun lalu.

“Ketika ini, saya hanya bergantung kepada ubat kanser daripada hospital dan terpaksa menjual pelbagai koleksi barangan antik dalam simpanan untuk menyara keluarga.
“Isteri memang tidak bekerja kerana perlu membantu menguruskan ibu, Bayak Usop, berusia 77 tahun yang sudah uzur dan uruskan persekolahan anak.
“Sebagai suami dan bapa, saya sedih kerana tak dapat gembirakan mereka terutamanya Naufal yang terlalu kecil dan amat perlukan kasih sayang, bermain dengan saya seperti kanak-kanak lain,” ujarnya menahan hiba.
Mohamad Nasirudin berkata, setiap malam dia hanya mampu berdoa akan berlaku keajaiban Allah membolehkan dia terus sihat untuk kembali bekerja bagi menampung perbelanjaan keluarga terutamanya masa depan anak lelakinya itu.
Menurutnya, bagi menampung kos hidup kerana tidak bekerja, dia ada memohon bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Namun setakat ini, jelasnya hanya JKM meluluskan bantuan bulanan RM500 yang dijangka diterima pada bulan ini manakala permohonan MAIM pada Disember tahun lalu masih dalam pertimbangan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh dibuat melalui akaun Affin Bank 200328038486 atas nama Mohamad Nasirudin Md Zen. – MalaysiaGazette