JOHOR BAHRU – Seorang ejen hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menipu dua individu membabitkan jumlah RM48,000 pada tahun lalu.
Tertuduh, S Shaminee, 43, membuat pengakuan tersebut selepas dua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Shaminee yang juga tertuduh kedua menghadapi dua pertuduhan itu bersama-sama seorang lagi tertuduh yang juga pegawai penyiasat polis berpangkat inspektor.
Bagaimanapun wanita berkenaan tidak hadir ke mahkamah hari ini kerana dalam tempoh cuti sakit.
Bagi dua pertuduhan itu, Shaminee didakwa bersama-sama tertuduh pertama mencapai niat bersama menipu seorang lelaki berusia 44 tahun dan seorang wanita berusia 33 tahun dengan memperdayakan mereka untuk percaya bahawa dia adalah seorang peguam yang boleh membantu mereka menyelesaikan siasatan yang sedang dijalankan oleh pegawai penyiasat berkenaan.
Siasatan yang dikatakan sedang dibuat masing-masing ke atas mangsa bagi kesalahan menggaji pembantu rumah warga asing tanpa permit yang sah dan ke atas ke atas ibu mertua mangsa bagi kesalahan menjalankan perkhidmatan membekalkan pembantu rumah tanpa permit dan lesen yang sah itu sebenarnya tidak wujud.
Perbuatan itu dengan curangnya mendorong mangsa menghantar wang masing-masing berjumlah RM24,000 secara dalam talian yang mana dua mangsa itu tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Shaminee didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini pada 17 Mac 2024.
Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Asmah Zainal Ariffin menawarkan jaminan berjumlah RM30,000 terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan, namun dibantah peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan yang mewakili tertuduh.
Mohd Shahrullah Kham memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan, memandangkan anak guamnya mempunyai masalah kewangan selepas perniagaan kafe diusahakan bersama suaminya ditutup.
“Tertuduh mempunyai dua anak berusia tiga serta 14 tahun dan baharu sahaja bekerja sebagai ejen hartanah. Tiada sebab tertuduh melarikan diri kerana sejak ditahan pada Julai 2024, tertuduh memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dan telah melapor diri setiap bulan,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 April depan untuk sebutan semula kes.
Pertuduhan terhadap tertuduh pertama juga akan dibacakan pada 16 April depan.- MalaysiaGazette