KUALA LUMPUR – CyberSecurity Malaysia menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada terhadap taktik penipuan yang melibatkan penyamaran sebagai pegawai serta penggunaan logo agensi itu.
CyberSecurity Malaysia memaklumkan, pihaknya menerima laporan terdapat individu tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai kakitangan CyberSecurity Malaysia.
Katanya, individu berkenaan membuat panggilan telefon, menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) dan e-mel, serta memuat naik hantaran di media sosial menggunakan logo agensi itu untuk tujuan penipuan dan memperdaya mangsa bagi mendapatkan maklumat peribadi atau kewangan.
“Kami ingin menegaskan bahawa CyberSecurity Malaysia tidak pernah menghubungi mana-mana individu bagi tujuan meminta maklumat peribadi atau kewangan.
“Selain itu, kami juga tidak membuat sebarang hantaran di media sosial untuk memaklumkan mengenai salah laku individu di media sosial.
“Sekiranya anda menerima panggilan serta mesej sedemikian, sila maklum bahawa ia bukan daripada pegawai atau kakitangan rasmi kami,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, tambah kenyataan tersebut, orang ramai dinasihatkan untuk berhati-hati dan tidak sesekali mendedahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, maklumat akaun bank, atau kata laluan, terutama jika dihubungi oleh pihak yang mencurigakan.
“Untuk pengesahan atau maklumat lanjut, sila hubungi CyberSecurity Malaysia melalui saluran rasmi di [email protected]. Kerjasama anda amat dihargai dalam memastikan keselamatan siber kekal terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette